USM TUAN RUMAH SUTRA EDISI KE-11: LAHIRKAN MAHASISWA SIHAT DAN TINGKATKAN KERJASAMA AKRAB ANTARA UNIVERSITI
USM PULAU PINANG, 16 Jun 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sukan SUKSIS Zon Utara (SUTRA) edisi ke-11 iaitu sebuah program tahunan yang melibatkan badan beruniform Sukarelawan Polis Siswa/i (SUKSIS) dari beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Zon Utara.
Kejohanan SUTRA pada kali ini melibatkan sebanyak lima buah IPTA Zon Utara antaranya ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dan USM.
Program yang akan berlangsung selama 3 hari ini, dari 16 sehingga 18 Jun 2023 ini mempunyai objektif untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelatih Kor SUKSIS di samping bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan pelatih Kor SUKSIS.
Hadir bagi merasmikan program adalah Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, mewakili Komandan Kor SUKSIS USM, Mejar Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor.
Menurut Mohd Salman dalam ucapan perasmiannya, beliau bersetuju program sebegini bukan sahaja dapat melahirkan mahasiswa yang sihat dan cergas tetapi juga dapat membentuk kerjasama yang lebih akrab antara institusi yang bertanding serta mampu membentuk disiplin yang lebih baik antara para pelatih.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur iaitu persatuan Kor SUKSIS USM bersama-sama pihak USM kerana telah berusaha untuk menyusun strategi bagi menjayakan program ini dengan kerjasama yang padu dari semua yang terlibat,” katanya.
Tambah Mohd Salman, beliau berharap agar program sebegini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang dari segi akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.
Sementara itu, Pengarah Projek SUTRA Edisi ke-11, Jennifer Thien Seww Ying berkata, harapannya adalah agar kerjasama yang dibina itu tidak akan berakhir setelah selesainya program tetapi biarlah ia menjadi pemula untuk membina satu hubungan yang berterusan antara mereka semua untuk program yang akan datang.
“Semoga maju jaya saya ucapkan kepada semua peserta yang mewakili kontinjen universiti masing-masing untuk kejohanan kali ini dan cubalah yang terbaik untuk meningkatkan kebolehan diri dan bawalah pulang kejayaan untuk universiti anda.
“Walaupun kalah dan menang itu adat permainan, tetapi usahalah dengan sepenuhnya,” pesan Jennifer.
Sebanyak sembilan acara sukan akan dipertandingkan bermula hari ini iaitu futsal, badminton, iron man dan iron lady, bola sepak, bola tampar, sepak takraw, petanque, bola jaring, serta acara balapan.
Hadir sama pada majlis perasmian adalah Timbalan Komandan Kor SUKSIS USM, Supt/Ks Profesor Madya Dr. Nazaruddin Zainun; Timbalan Komandan Kor SUKSIS UUM, Supt/Ks Syamsyul Anuar Bin Che Mey @ Ismail; Timbalan Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Supt/Ks Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Muzamil Jusoh; pegawai-pegawai kehormat; pegawai-pegawai penyelaras Kor SUKSIS UA; pegawai-pegawai kanan PDRM dan para jurulatih.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1009