USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FFAM 2023 KEMBALI LAGI, PERTANDINGKAN FILEM-FILEM PENDEK HEBAT IPT

353409906 662625565904196 9021975291858539953 n

USM PULAU PINANG, 16 Jun 2023 – Sekretariat Protégé Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah menganjurkan Festival Filem Anak Muda (FFAM) 2023, iaitu Pertandingan Filem Pendek antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia peringkat kebangsaan dengan kerjasama Dewan Budaya USM; Canon Malaysia; Dewan Bahasa dan Pustaka; Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM; Pusat Pengajian Komunikasi USM dan Pusat Pengajian Seni USM.

Bertemakan konsep ‘Kebangkitan’, program ini bertujuan untuk mengasah bakat serta memberikan ruang kepada anak-anak muda dalam mengetengahkan kemahiran mereka dalam bidang perfileman dan pengarahan selain meningkatkan teknik untuk menilai, memilih, membentuk dan menjana idea, konsep dan pemahaman yang konkrit berdasarkan tema yang diberikan untuk digarap dalam filem yang diterbitkan.

Berlangsung di Dewan Budaya USM, hadir bagi merasmikan program adalah Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab.

353643356 662625575904195 123042559177790838 n

Habibah dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau berharap melalui acara ini, kreativiti industri perfileman khususnya perjuangan anak muda untuk terus berkarya dapat dipergiat dan saya percaya dengan adanya acara festival filem sebegini, bakat-bakat anak muda dapat diasah dan diangkat.

“Yakin dan percayalah anda merupakan pelapis yang bakal mencorak masa depan industri kreatif perfileman tempatan di masa akan datang,” kata Habibah.

352234333 662625669237519 3797646622112677207 n

Sementara itu, Pengarah Program FFAM 2023, Syamim Najwa Mohd Fani berkata, dia berharap dengan adanya FFAM 2023, usaha untuk menimba ilmu, mencari pengalaman dan membina jati diri melalui penghasilan karya perfileman negara ini mampu menjadi platform kepada para pelajar khususnya dalam mencungkil dan menggilap setiap kelebihan dan juga kreativiti yang merangkumi aspek pembikinan filem dan sebagainya.

FFAM 2023 akan berlangsung selama tiga hari pada 16 sehingga 18 Jun 2023 yang akan mempertontonkan tayangan filem-filem pendek dan Malam Anugerah FFAM 2023.

Acara gilang-gemilang ini adalah bagi meraikan karya-karya filem pendek penyertaan yang telah dihasilkan dan lebih menarik lagi, edisi kali ini akan mengangkat tiga pemenang anugerah khas bagi kumpulan peserta yang menggunakan peralatan dan teknologi perfileman jenama Canon dalam proses pembikinan filem masing-masing.

Program ini disertai oleh para mahasiwa/i daripada 6 buah IPT di Malaysia antaranya adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan USM.

Hadir sama pada majlis perasmian adalah Pengarah Dewan Budaya, USM, Ramnah Ramli; Ketua Juri FFAM 2023, Mohd Ghazali Abu Bakar; Perancang Bahasa Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Rusdi Abd Rahman; Ketua Cawangan Canon Pulau Pinang, Canon Marketing Malaysia, Daren Tan; Penasihat Sekretariat Protege USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim; Presiden Sekretariat Protege merangkap Pengarah Program FFAM 2023, Syamim Najwa Mohd Fani; dekan-dekan dan pegawai-pegawai utama USM, serta juri-juri jemputan.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Joshua Edwin A/L Santhanasamy (Intern@MPRC)

  • Created on .
  • Hits: 726

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024