SLIBA 2023 SIRI 2 PLATFORM TERBAIK UNTUK INTELEKTUAL KONGSI ILMU BIDANG LINGUISTIK DAN BAHASA MELAYU
USM PULAU PINANG, 15 Jun 2023 – Seminar Linguistik Dan Bahasa (SLIBA 2023) Siri 2 anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan platform terbaik untuk para intelektual berkongsi ilmu berkenaan Bahasa Melayu melalui kajian-kajian yang dilakukan.
Dilangsungkan di Kompleks Eureka, USM, sebanyak 31 kertas kerja berkaitan bidang linguistik dan bahasa telah dibentangkan oleh ahli akademik, penyelidik, penjawat awam dan pelajar siswazah serta pascasiswazah dalam kepelbagaian tema yang difokuskan.
Dekan PPIK, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong ketika menyampaikan ucapan perasmiannya berkata, SLIBA 2023 bermatlamat untuk menghimpunkan bersama bicara ilmiah dalam kepelbagaian tema bidang yang difokuskan baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa dalam satu pentas ilmiah.
“Platform ilmiah ini menyediakan ruang untuk pertukaran dan perkongsian ilmu berkaitan penemuan, idea-idea terkini juga isu, cabaran dan resolusi praktikal hasil adaptasi serta inovasi dalam landskap pembangunan secara holistik,” katanya.
Timbalan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Khairul Anum Mohd Ali juga menyatakan bahawa penganjuran SLIBA 2023 ini telah menyediakan peluang kepada semua peserta untuk berdiskusi dan berkongsi teori yang digunakan selain memartabatkan Bahasa Melayu melalui kajian-kajian yang diketengahkan.
SLIBA 2023 yang bertemakan “Linguistik dan Bahasa Dalam Masyarakat Madani” turut dihadiri Dekan PPBLT, Profesor Dr. Salasiah Che Lah; Pengucaptama SLIBA 2023, Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz; dan Timbalan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, Rusdi Abd Rahman.
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Joshua Edwin A/L Santhanasamy (Intern@MPRC)
- Created on .
- Hits: 870