USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKAYA KERJASAMA AKADEMIK, PENYELIDIKAN DAN PERKONGSIAN ILMU FOKUS PEMETERAIAN KERJASAMA USM DAN QATAR UNIVERSITY

a391b63f f310 4de2 bb92 d162c2e8091c

DOHA, QATAR, 15 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Qatar University (QU) terus memperkukuhkan kedudukan kedua-dua institusi sebagai pusat pembelajaran dan inovasi global menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), hari ini.

Pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bagi pihak USM manakala QU ditandatangani oleh Naib Presiden QU, Asma Al-Thani.

Menurut Abdul Rahman, persetujuan yang dicapai antara kedua-dua institusi ialah bagi memajukan pengetahuan, mempromosi penyelidikan dan mewujudkan kesan transformatif dalam komuniti akademik.

IMG 5886

“MoU ini cerminan iltizam antara dua (2) institusi yang didorong oleh semangat serta dedikasi untuk memulakan usaha bersama yang mana pertukaran pengetahuan, kepakaran dan sumber akan menghasilkan transformasi landskap akademik yang lebih mendalam.

"Perkongsian ini disasarkan akan meningkatkan kualiti pendidikan, kerjasama penyelidikan serta mendedahkan pelajar dan fakulti kepada perspektif idea baharu," katanya.

Beliau berkata, melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai saluran kerjasama termasuk projek penyelidikan bersama, program pertukaran fakulti dan pembangunan program akademik yang inovatif.

“Inisiatif ini bukan sahaja akan memperkayakan pengalaman pendidikan pelajar-pelajar, tetapi juga memupuk budaya inovasi dan keusahawanan.

"Dengan memanfaatkan kekuatan serta kepakaran kedua-dua institusi, kami akan menghasilkan graduan yang dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan dan minda global yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin saling berkaitan,” ujarnya lagi.

Tambah Abdul Rahman, perkongsian itu akan mewujudkan platform pemahaman dan kepelbagaian silang budaya.

"Melalui pertukaran pelajar atau kakitangan, seminar bersama, latihan, penerbitan penyelidikan bersama, persidangan, acara kebudayaan dan hubungan akademik lain, kami akan mempromosikan dialog antara budaya dan meraikan kekayaan warisan masing-masing.

"Pertukaran idea dan pengalaman ini akan memupuk perspektif global dalam kalangan pelajar sekaligus menyediakan mereka untuk menjadi rakyat yang penyayang dan bertanggungjawab.

IMG 5885

"Pihak QU sangat tertarik dengan rancangan kerjasama bersama USM ekoran pencapaian USM yang berjaya mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 dan pertama di Asia dalam ranking kelestarian serta kedudukan pertama dalam 'Sustainable Development Goals' (SDG) SDG16," jelasnya lanjut.

Turut hadir dalam majlis penandatanganan MoU tersebut ialah Duta Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan; Konsul di Kedutaan Malaysia di Doha, Maryam Masyitah Ahmad Termizi; Presiden QU, Dr. Hassan Al-Derham; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad; Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Ramli Osman; dan pegawai-pegawai utama QU.

Teks & Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 373

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024