HIMPUN BUDAYA 2023 “MEMADANI TRADISI, MERENTASI KOMUNITI”
USM PULAU PINANG, 14 Jun 2023 – Budaya tempatan merupakan warisan yang perlu dipelihara sepanjang zaman.
Generasi muda pada hari ini semakin taksub dengan budaya luar sehingga budaya sendiri terabai. Malah, kebanyakan budaya tradisional khususnya kian sirna daripada jiwa anak-anak tempatan.
Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) memandang perkara ini sebagai satu inisiatif untuk memartabatkan kebudayaan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi USM.
Bukanlah pertama kali dianjurkan, Himpun Budaya pada kali ini menampilkan lebih ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada orang ramai termasuk warga USM dan masyarakat awam.
Himpun Budaya 2023 yang berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula dari 23 Mei sehingga 25 Mei yang lalu dipadatkan dengan segmen-segmen seperti Cipta (Bengkel Seni dan Kraf); Pekan Seni (Jualan Seni Kraf); Kunyah (Jualan Makan Tradisi dan Trak Makanan); Main (Pertandingan Sukan Tradisi); Palu (Persembahan Gendang Secara Terbuka); Wayang (Persembahan Wayang Kulit); dan Rentak (Persembahan Muzik dan Tarian Tradisional).
Meskipun dikurangkan beberapa segmen daripada Himpun Budaya tahun lalu, kesederhanaan pada kali ini masih mendapat sambutan hangat daripada lebih 1,500 pengunjung yang hadir sepanjang tiga hari berlangsungnya program tersebut.
Kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyempurnakan majlis perasmian pada hari pertama Himpun Budaya 2023 dilaksanakan dan beliau turut dibawa ke Dataran Bintang untuk aktiviti melempar bola ke arah susunan tin.
Foyer Dewan Budaya menempatkan Cipta dan Pekan Seni yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut.
Bagi segmen Cipta, Artis Dewan Budaya, Marduwati Laily dan Pensyarah Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Tetriana Ahmed Fauzi telah berkongsi idea kreatif mereka dalam menghasilkan cenderamata dan lukisan.
Pekan Seni pula diserikan dengan kehadiran Sila Seramik Studio, Outdoor Dynamics Sdn. Bhd., WTF Bracelet dan The Rattan House.
Kehangatan semakin terasa pada hari kedua apabila pengunjung disajikan dengan paluan gendang tradisional yang dikendalikan oleh Nur Liyana Che Mohammad. Bukan sahaja disertai oleh warga tempatan, malah pelajar dari luar negara juga berminat dengan melibatkan diri mereka bersama-sama mengetuk gendang.
Segmen yang dinanti-nantikan oleh pengunjung adalah segmen Wayang yang diadakan pada malam hari kedua Himpun Budaya 2023 berlangsung.
Dataran Bintang pada malam itu penuh dengan kehadiran orang ramai termasuk pelajar antarabangsa.
Wayang menampilkan kehebatan Wayang Kulit Kelantan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang didatangkan khas dari negeri Kelantan dan alunan muzik tradisional yang diketuai oleh Che Mat bin Jusoh.
Persembahan lain termasuk kelincahan silat cekak oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM, tarian semi klasikal India oleh Persatuan Kebudayaan India USM, tarian memukau Ulek Mayang oleh Kumpulan Kesenian Adikarma USM dan Tarian Saman Indonesia yang ditarikan sendiri oleh Persatuan Pelajar-pelajar Indonesia USM.
Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) USM menutup segmen Wayang pada malam itu dengan keunikan tarian menggunakan buluh iaitu Magunatip yang berasal dari negeri Sabah.
Belum berakhir di situ, segmen Rentak menjadi malam kemuncak pada hari ketiga, iaitu hari terakhir Himpun Budaya 2023 dilangsungkan.
Segmen ini telah meliputi warisan kebudayaan seluruh negara dari negeri Perlis sehingga ke Sabah.
Ketiga-tiga pengacara majlis, iaitu selebriti Azhar Jalil, Ajo Raja Lawak dan Murshid Md Hussain menjadikan malam Rentak ini lebih menarik dan meriah.
Terdapat ramai pihak yang terlibat pada malam itu termasuklah Kumpulan Kesenian Adikarma USM, Puteri Gamelan Wangsa Mutiara, Dewan Budaya Band, Ikatan Mahasiswa Johor USM, PERSIS USM dan peserta separuh akhir Asia’s Got Talent, Sada Borneo yang juga merupakan Alumni USM.
Penonton yang hadir sangat berpuas hati dengan setiap persembahan yang disajikan pada malam itu. Mereka beramai-ramai turut menyanyikan lagu Anak Kampung sambil diiringi oleh kumpulan muzik Sada Borneo.
Himpun Budaya 2023 berharap agar pengunjung yang hadir pulang dengan semangat kebudayaan yang tinggi supaya warisan tempatan tidak hilang ditelan zaman.
Seiring dengan slogan Himpun Budaya kali ini “Memadani Tradisi, Merentasi Komuniti,” Dewan Budaya berusaha untuk memajukan dan membawa tradisi ke peringkat yang lebih tinggi dan meluas yang menembusi pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Teks: Khairunnisa Khairol Anuar, Pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Komunikasi (Major Filem dan Penyiaran) Merangkap Sekretariat Himpun Budaya 2023/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1141