USM KE ARAH PENDIGITALAN SECARA TOTAL
PULAU PINANG, 13 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) perlu bergerak seiring dengan perkembangan revolusi industri serta mempunyai hala tuju yang jelas dalam pelan strategik pendigitalan dalam usaha menyokong Agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).
Demikian kata Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi USM, Profesor Dr. Azlan Amran dalam ucapannya ketika merasmikan Bengkel Kajian Semula Pelan Strategik ICT (ISP 4.0) ke arah Pelan Strategik Pendigitalan (PSP 4.0) USM bagi tahun 2021 - 2025 yang diadakan pada 7 - 9 Jun 2023 di Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur.
Katanya lagi, “justeru itu, penyediaan dasar dan polisi yang menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan semasa dan trend terkini pendigitalan adalah penting dalam memastikan transformasi pendigitalan di USM dapat direalisasikan.”
“Ini merupakan usaha untuk memfokuskan pendigitalan secara total sejajar dengan Pelan Pendigitalan KPT dalam menghasilkan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan sekaligus dapat mewujudkan budaya kerja yang dipacu oleh digital,” tambah Azlan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Maklumat (CIO) USM, Tuan Haji Yusoff Abdullah ketika menyampaikan ucapan aluannya berkata, hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan untuk tempoh lima tahun akan datang ini bakal menjadi panduan utama kepada seluruh warga seterusnya menjadikan USM sebagai salah satu Kampus Pintar.
Tambahnya, objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk menyemak semula Pelan Strategik ICT (ISP 4.0) dengan penjenamaan semula kepada Pelan Strategik Pendigitalan (PSP 4.0).
“Program ini memfokuskan kepada lima (5) teras strategik utama iaitu 1) Perkhidmatan Digital Bersepadu; 2) Prasarana ICT; 3) Pemerkasaan Bakat; 4) Pemangkin Kecemerlangan Akademik dan Penyelidikan; dan 5) Tadbir Urus Berpacukan Kepintaran Data,” katanya.
Bengkel tersebut adalah anjuran bersama Pejabat Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dengan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM.
Turut hadir ialah Pengarah PPKT, Ahmad Fadhlul Irham Yusoff; Timbalan-Timbalan Pengarah PPKT serta Pegawai-pegawai Teknologi Maklumat Kanan meliputi keseluruhan kampus USM.
Teks asal: Nur Farahana Mohd Amin (PPKT USM)/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 692