PPPJJ BUKA LALUAN USM UNTUK TANDATANGANI MoA DAN MoU DENGAN INSTITUSI PENDIDIKAN INDONESIA
PULAU PINANG, 12 Jun 2023 – Susulan kepada inisiatif Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani memorandum perjanian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa Institusi Pendidikan Tinggi di Indonesia, satu kunjungan hormat delegasi PPPJJ yang diketuai oleh Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob ke atas Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Pak Bambang Suharto telah diadakan pada 6 Jun 2023 yang lalu.
Pihak Pejabat Konsul Jeneral disertai juga oleh Pelaksana Fungsi Penerangan dan Sosial dan Budaya, Pak Andri Djufri Said; dan Pelaksana Fungsi Ekonomi, Pak Kiki Tjahjo Kusprabowo.
PPPJJ turut diwakili ketiga-tiga Timbalan Dekannya iaitu Dr. Hazrul Abdul Hamid, Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa); Ts. Chm. Dr. Sumiyyah Sabar, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti); dan Dr. Chua Hang Kuen, Timbalan Dekan (Teknologi dan Sokongan Pembelajaran).
Dalam pertemuan santai tersebut, kedua-dua pihak telah berbincang tentang hal ehwal dan strategi untuk pemasaran dan mempromosi program-program PPPJJ di Indonesia.
Selain itu, turut dibincangkan ialah berkenaan potensi kolaborasi program akademik antara USM dengan universiti awam di Indonesia dalam bentuk kerjasama penyelidikan, mobiliti pelajar dan pelbagai lagi.
Pihak Konsul Jeneral juga telah mendengar pembentangan mengenai “International Conference on Multidisciplinary Research” yang akan diadakan pada September 2023 anjuran PPPJJ, USM secara bersama dengan Universitas Islam Sumatera Utara, Universitas Syiah Kuala, Universitas Hasanuddin dan Tan Trao University.
Pihak PPPJJ merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang di atas kesudian menerima delegasi pengurusan PPPJJ.
Teks dan Foto: Mohd Rashid Abdul Rejab (Timbalan Pendaftar, PPPJJ USM)
#usm #welead #pppjj #indonesia #StrivetoDeliverExcellence #SDE
- Created on .
- Hits: 469