USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN REKACIPTA GERAN BJIM USM-SKJB PERKASA MINAT MURID TERHADAP SAINS DAN TEKNOLOGI

USM PULAU PINANG, 13 Jun 2023 - Pertandingan Rekacipta anjuran Projek Libatsama Universiti-Komuniti di bawah Geran BJIM, USM yang bertajuk Program Memperkasakan Minat Murid Terhadap Bidang Sains & Teknologi Di Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu, Seberang Perai Tengah Pulau Pinang dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu telah berlangsung pada 13 Jun 2023 di Dewan Terbuka, Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu, Perai.

Picture 1

Program ini telah melibatkan pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu yang terdiri daripada 50 orang pelajar dari tahun 2 hingga tahun 6 termasuk 5 orang pelajar berkeperluan khas (PPKI) dan 30 orang guru.

Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM merangkap Ketua Projek bagi program ini, ChM Anis Tasnim Md Yusof berkata, pertandingan ini diadakan untuk meningkatkan minat para pelajar terhadap bidang sains dan teknologi, melahirkan murid yang berfikiran kreatif dan inovatif, mencungkil bakat murid serta memberi pendedahan tentang kemahiran sains, teknologi, inovasi dan reka cipta.

Semasa berlangsungnya program ini, pelbagai ciptaan kreatif dan inovasi dipersembahkan oleh 10 kumpulan yang bertanding. Terdapat beberapa produk menarik yang telah dihasilkan antaranya ialah bekas serbaguna, mini cinema box, roda sifir, alat pencuci berus warna automatik, Robotic Rod, peti surat muzik, Grammarpoly, RFP Case (bekas pensel berkipas), Breeze Case (fail berkipas) dan Smart Duster.

Picture 2

Pertandingan ini juga dinilai oleh juri-juri yang berpengalaman dalam bidang rekacipta dan inovasi di peringkat universiti dan kebangsaan iaitu pensyarah-pensyarah Bahagian Kimia, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM.

Projek “Smart Duster” telah berjaya memenangi keseluruhan program ini dan kumpulan yang berjaya itu akan mewakili sekolah dalam pembentangan rekacipta tersebut di SIRIM Invention, Innovation & Technology Expo 2023 yang akan diadakan pada 11-13 Julai 2023 di AMREC, SIRIM BHD, Kulim, Kedah.

Teks Asal dan Foto: Anis Tasnim binti Md Yusof/Suntingan: Siti Fatimah Binti Abu Mansor

  • Created on .
  • Hits: 523

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024