MPP USM BERPELUANG ANJUR PERTANDINGAN ROBOCON 2023 SELARI DENGAN AGENDA PEMERKASAAN MAHASISWA
USM, PULAU PINANG, 13 Jun 2023 - Seiring dengan agenda Pemerkasaan Mahasiswa, buat julung kalinya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk mengendalikan dan menganjurkan program Pertandingan Robocon 2023 peringkat kebangsaan.
Pada tahun ini, USM sekali lagi telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berlangsung pada 10 Jun hingga 13 Jun 2023.
Program ini bertujuan untuk memberi ruang kepada para pelajar untuk mempamerkan kemahiran, inovasi dan daya kreativiti dalam penciptaan robot dan melahirkan perintis teknologi robotik dalam komuniti dan Technopreneur dan mewujudkan kolaborasi startegik dengan industri.
Berlangsung di Kompleks Sukan Azman Hashim USM, tema Casting Flower Over Angkor Wat telah dipilih selari dengan tema ABU Robocon peringkat Antarabangsa 2023 yang bakal diadakan di Phnom Penh, Cambodia pada Ogos tahun ini.
Hadir bagi merasmikan majlis penutup pertandingan adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, JPT, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Profesor Dr. Azlinda Azman.
Azlinda Azman dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada USM kerana telah menyambut baik saranan dan hasrat yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasakan mahasiswa, yang mana mahasiswa perlu diberi peluang untuk melancar, merancang dan melaksanakan program-program yang berimpak tinggi.
“Adalah suatu perkara yang penting untuk kita memahami dan memberi peluang kepada kemampuan mahasiswa untuk berada kearah pemerkasaan yang lebih baik yang mana mereka perlu diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam Robotic Technology Humanity dan dalam bidang kejuruteraan yang perlu diaplikasikan secara praktis,” kata Azlinda.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya berkata, beliau berharap pengalaman yang diperoleh daripada pertandingan Robocon ini akan membawa peserta sekalian ke arah pembentukan modal insan yang holistik untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa/i yang dapat memenuhi keperluan negara dan global.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutamanya MPP USM diatas komitmen serta dedikasi yang tinggi dalam menjayakan program yang penuh gilang-gemilang ini,” kata Abdul Rahman.
Menurut Pengarah Projek Robocon Malaysia 2023 merangkap Yang di-Pertua MPP USM, Afirul Idris Ayub Khan, beliau berharap agar segala usaha sekretariat dan penasihat Robocon Malaysia 2023 mampu untuk memberikan dorongan kepada semua kumpulan dan pasukan Robocon 2023 yang telah bertanding dan seterusnya akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat anatarabangsa.
“Saya mewakili pihak pengurusan berharap agar majlis pada kali ini dapat memberi manfaat kepada semua pelajar dan tetamu yang hadir semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita dan matlamat program ini dapat dicapai,” katanya.
Sebanyak 21 pasukan daripada 17 institut pengajian tinggi bertanding dan pasukan yang menjuarai Pertandingan Robocon 2023 peringkat kebangsaan dimiliki oleh pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) B.
Hadir sama pada majlis adalah wakil Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Pengarah, Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang, Norfadzilah Hashim; Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah, Bahagian Mahasiswa Holistik JPT, KPT, Hirman Awang dan Pengarah, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, JPT, KPT, Dato’ Mohd Sharil Abdullah.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1253