PERTANDINGAN ROBOCON KEMBALI, SERLAHKAN PENGETAHUAN ROBOTIK MAHASISWA IPT
USM PULAU PINANG, 10 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah dilantik sebagai penganjur Pertandingan Robocon 2023 peringkat kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bermula pada 10 Jun hingga 13 Jun 2023.
Pertandingan yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Azman Hashim, USM itu dikendalikan oleh pelajar USM di bawah naungan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pertandingan tersebut bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan teknologi robotik dalam kalangan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) di samping memberi ruang untuk mempamerkan kemahiran, inovasi dan daya kreativiti mereka dalam bidang penciptaan dan pengendalian robot.
Sebanyak 22 pasukan daripada 18 IPT bakal bertanding dan pasukan yang menjuarai Pertandingan Robocon peringkat kebangsaan itu akan mewakili Malaysia untuk bertanding dalam ABU ROBOCON peringkat Antarabangsa 2023 di Phnom Penh, Cambodia pada 27 Ogos 2023.
Pihak USM mengucapkan semoga berjaya kepada semua pasukan yang bertanding!
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 462