USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERFIKIR PROAKTIF DAN TARIK LEBIH RAMAI PELAJAR ANTARABANGSA SERTAI AKTIVITI

 DSC6387df

PULAU PINANG, 9 Mei 2015 – Berfikir proaktif dan kreatif untuk menjayakan aktiviti bersama-sama untuk mengharumkan nama universiti di persada dunia, pesan Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Mustafa Mansur kepada mahasiswa ketika merasmikan Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Ke-41 di Stadium Olahraga malam tadi.

“Hal ini amat penting dalam memenuhi hasrat untuk membina sebuah negara dan bangsa yang maju yang bersatu dengan jati diri yang kuat serta berharap semua peserta yang mengambil bahagian dalam TOT akan bertanding bersungguh-sungguh untuk menjuarai acara yang disertai dengan semangat kesukanan yang tinggi,” kata Mustafa.

 DSC6344dfg

 DSC6408fg

Selain itu, beliau juga berharap untuk melihat penglibatan lebih ramai pelajar antarabangsa dalam kejohanan olahraga dan juga acara-acara sukan yang dianjurkan oleh universiti pada masa hadapan.

"Saya percaya pihak Universiti telah pun melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan penyertaan dalam kalangan pelajar antarabangsa USM yang kini berjumlah hampir 2,000 orang dari lebih 50 buah negara itu," tambah Mustafa.

Terdahulu, Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman turut menyeru agar TOT dijadikan platform dalam membentuk mahasiswa berkemahiran berfikir, berketrampilan dan memiliki jati diri yang kukuh.

"USM perlu mengorak langkah melahirkan atlet berkualiti bagi mengharumkan nama USM serta negara di peringkat dunia dan semua warga USM perlu meninjau keperluan agar USM bukan sahaja berupaya melakarkan nama sebagai universiti penyelidikan dan APEX dalam akademik tetapi amat cemerlang dalam ko-kurikulum dan sukan,” kata Omar lagi.

 DSC6410

Perasmian Temasya Olahraga Tahunan TOT Ke-41 berlangsung dengan penuh warna-warni dan meriah dengan dimulakan oleh perbarisan lintas hormat daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USM yang diikuti oleh kontinjen-kontinjen yang mewakili desasiswa-desasiswa termasuk Pelajar Tanpa Asrama (PETAS) dan badan beruniform masing-masing menonjolkan bakat dan kreativiti dalam setiap persembahan sehingga mendapat sorakan gemuruh dari penonton yang menghangatkan majlis tersebut.

Program tiga hari bermula 8 Mei 2015 dengan tema “Together On Track”.

Pada majlis yang sama Desasiswa Jaya dan Desasiswa Saujana diisytiharkan masing-masing sebagai Johan Keseluruhan Kategori Lelaki dan Wanita bagi Kejohanan Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) 2014/2015 yang berlangsung di Kampus Kesihatan, diikuti dengan Kampus Induk dan melabuhkan tirainya di Kampus Kejuruteraan.

 DSC6416drh

Turut berlangsung dalam majlis berkenaan ialah penyampaian “Mock Cheque” daripada penaja-penaja utama dari Nestle Sdn. Bhd., CIMB Bank, dan Butter & Olive Pastry House.

Hadir sama ialah isteri Naib Canselor Datin Noraizan Jamaludin; Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM dan isteri; serta pegawai-pegawai utama USM. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah /Suntingan: Mohamad Abdullah / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1327

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024