USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PBAKL 2023: RERUAI PENERBIT USM TERIMA LAWATAN PM ANWAR

LawatanPM3 Lawatan PM4

PULAU PINANG, 10 Jun 2023 – Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, acara tahunan yang diadakan bagi mempromosikan budaya membaca, merancakkan industri perbukuan dan mempertemukan penulis dengan pembaca.

Malah pesta buku tersebut merupakan pesta buku yang terbesar dan terulung di Malaysia yang menampilkan pelbagai penerbitan kebangsaan dan antarabangsa.

Diadakan pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PBAKL 2023 kali ini menghimpunkan 213 pempamer dari dalam dan luar negara dengan 815 reruai.

Acara utama yang menjadi tumpuan pengunjung PBAKL 2023 ialah Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei 2023.

Dalam ucapan perasmian, beliau menyeru agar rakyat Malaysia bersama-sama membantu dalam meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Tegas beliau lagi, budaya membaca seharusnya bermula dari rumah dan ibu bapa seharusnya menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak dalam amalan membaca serta mendedahkan anak mereka terhadap bahan bacaan yang sesuai sejak awal usia.

Selepas majlis perasmian, YAB Perdana Menteri meluangkan masa melawat beberapa reruai di PBAKL 2023, dan antara reruai yang dilawati ialah reruai Penerbit USM yang menggunakan jenama Emdash Bookstore.

YAB Perdana Menteri yang diiringi oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; dan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying telah meluang masa untuk melihat beberapa buku terbitan Penerbit USM.

3 judul buku iaitu Sirap Limau Ais: Memoir Seorang Pentadbir; Mutiara Pantun Melayu; dan Melayu Mahawangsa: Tanah Air, Sejarah, Kerajaan dan Peradabannya telah dihadiahkan kepada YAB Perdana Menteri.

Manakala pada 29 Mei 2026, Sasterawan Negara wanita pertama iaitu Datuk Zurina Hassan telah mengunjungi reruai Penerbit USM dan mendapatkan karya terbaharu beliau yang bertajuk Mutiara Pantun Melayu terbitan Penerbit USM di bawah imprin USM Popular.

LawatanSN2

Beliau juga berkesempatan bergambar bersama peminat dan menandatangani buku beliau yang dibeli oleh pengunjung.

Teks: Mohd Zaidi Abdullah (Penerbit USM)/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 358

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024