PERKONGSIAN KEUSAHAWANAN CETUS INSPIRASI
PULAU PINANG, 8 Mei 2015 - Persatuan Enactus Universiti Sains Malaysia melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar (PPKSP) telah menganjurkan Youth Leader Sharing Session 2.0 (YLSS 2.0) dengan tema “Journey to Success” dengan perkongsian ilmu bersama usahawan terkenal dan berjaya di Malaysia iaitu Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn Bhd Dato’ Michael Tio Boon Yiaw, dan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Startup Street Joshep Lee yang dihadiri 300 orang pelajar institusi pengajian tinggi sekitar negeri Pulau Pinang di Dewan Pembangunan Siswa, Kompleks Cahaya USM.
Menurut Pengarah Projek, Lim Ren Jie, sesi ini diharapkan dapat memberi pengetahuan berkaitan dunia keusahawanan kepada pelajar dari pengalaman luas kedua-dua penceramah sebagai motivasi untuk mencapai kejayaan masa hadapan.
Dalam syarahannya, Joshep Lee, 23, memberitahu kejayaannya dalam menubuhkan platform turut membuka peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri dan peluang pekerjaan menerusi Startup Street yang menuntut banyak pengorbanan dan usaha yang bersungguh-sungguh.“Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, tiada jalan pintas selain berusaha gigih, menumpukan sepenuh perhatian, tenaga, masa dan sentiasa bersikap positif,” kata Lee.
Sementara itu, Dato’ Michael Tio dalam perkongsiannya pula berkata, kejayaannya dalam perniagaan luar negara banyak didorong oleh strategi pandang ke hadapan dalam melaksanakan keputusan perniagaan yang difikirkan akan menguntungkan syarikat.
Enactus USM adalah sebahagian daripada Organisasi Enactus Malaysia yang berfungsi menghubungkan para pelajar, akademik dan pemimpin perniagaan menerusi platform keusahawanan untuk mentransformasikan peluang untuk diri mereka dan juga komuniti amnya.
Enactus ialah akronim yang mewakili Keusahawanan (Entrepreneurial), Tindakan (Action) dan Kami (Us). - Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Suntingan: Mohamad Abdullah / Foto : Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1142