TEMU ANWAR: PM KONGSI ILTIZAM HAPUS RASUAH DAN BASMI KEMISKINAN BERSAMA WARGA USM
USM, PULAU PINANG, 11 Jun 2023 – "Masa depan negara akan lebih baik apabila rasuah dapat dihapuskan dan kemiskinan tegar berjaya dibasmi", demikian antara iltizam kerajaan yang dikongsi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama warga Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Mahasiswa disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai aset negara dan bakal pemimpin masa hadapan.
Justeru, selain ilmu, pendedahan serta kemahiran yang diperoleh sewaktu pengajian, mahasiswa juga perlu diterapkan dengan nilai integriti yang tinggi supaya tidak terdedah kepada isu rasuah.
Dengan terkuburnya rasuah, barulah tiada ketirisan hasil kerajaan yang akhirnya dapat diagihkan kepada umum secara sama rata bagi memerangi kemiskinan.
Perdana Menteri menerusi program Temu Anwar meluangkan masa lebih sejam bersama kira-kira 3,000 warga USM, pemimpin serta komuniti setempat di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.
Temu Anwar merupakan program anjuran bersama Anwar Ibrahim Club (AIC) membawa pendekatan terbaru Perdana Menteri bertemu secara langsung dengan orang ramai serta pelbagai golongan sasar untuk menyelami permasalahan rakyat, menjelaskan perkara dasar serta usaha-usaha kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Anwar sempat memberi pencerahan beberapa isu yang diutarakan oleh mahasiswa, khususnya berkaitan kebajikan, bantuan pendidikan serta peluang pekerjaan pasca graduasi.
Antara intipati maklum balas Anwar, beliau sebagai ketua kerajaan bertanggungjawab untuk mendengar keluh kesah rakyat termasuk mahasiswa, tetapi sama ada sesuatu permintaan boleh dipertimbangkan bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan dan keutamaan akan diberi kepada isu yang lebih mustahak serta berkepentingan umum terlebih dahulu.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta pegawai-pegawai utama Kementerian Pendidikan Tinggi dan USM.
Teks : Amyrulhan Azhari / Foto : Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 433