TEMU ANWAR: 3,000 BANJIRI DTSP USM UNTUK TURUT SERTA PERKONGSIAN PM
USM PULAU PINANG, 11 Jun 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Anwar Ibrahim Club (AIC) hari ini telah menganjurkan program Temu Anwar, sebuah program dialog anak muda bersiri dan sinonim bersama Perdana Menteri Malaysia ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama kenamaan dari Ahli Dewan Undangan Negeri dan kenamaan universiti yang lain.
Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, kira-kira 3,000 orang membanjiri dewan untuk mengikuti program tersebut.
Program Temu Anwar ini diadakan khusus bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutama anak muda untuk bertanyakan soalan secara terus kepadanya dan disiarkan secara langsung melalui media perdana RTM.
Menurut Anwar dalam pembuka bicaranya, tugas mahasiswa dilihat sebagai memberi tumpuan ke arah menimba ilmu serta memperolehi pencapaian yang cemerlang, serta perlunya membentuk generasi muda yang mempunyai pendirian dan keyakinan yang mana untuk mengangkat Malaysia ke arah menjadi negara maju, anak muda perlu bangkit dan pertahankan nilai-nilai tersebut.
“Bangkit dan lawan habis-habisan. Lawan tetap lawan!” soraknya.
Dalam sesi soal jawab bersama warga kampus, pelbagai isu dibangkitkan dan dalam salah satu persoalan yang dibangkitkan, beliau bersetuju membantu USM dengan memberikan satu bas universiti kepada setiap kampus.
Anwar juga bersetuju untuk memberi pertimbangan dalam memperuntukkan elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri ataupun ‘internship’ di mana-mana badan kerajaan, agensi atau organisasi yang bersesuaian.
Hadir sama dalam program ini adalah Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Polis Dato’ Khaw Kok Chin; Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM; pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pegawai-pegawai utama USM.
Program Temu Anwar yang telah dilaksanakan sejak 2009 terus mendapat sambutan sehingga kini.
Buat julung kalinya, Temu Anwar diadakan di DTSP USM, setelah beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 November tahun lalu.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1752