MoU USM – JABATAN MUZIUM MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN DAN KEMAHIRAN ISU KONSERVASI ARTIFAK NEGARA
USM PULAU PINANG, 10 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) mengukuhkan kerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai semalam.
MoU tersebut amat signifikan kepada kedua-dua pihak kerana melibatkan kerjasama penyelidikan dan pertukaran kepakaran serta kemahiran dalam isu-isu konservasi artifak negara di samping mengukuhkan kerjasama sedia ada yang telah dijalin oleh USM dengan JMM bermula tahun 1987 melalui penyelidikan di Kota Tampan dan Gua Harimau di Lenggong, Perak.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya berkata, USM dan JMM telah mengadakan beberapa siri bengkel latihan dan analisis terhadap artifak-artifak di bawah tanggungjawab JMM, yang memberikan impak positif kepada kedua-dua belah pihak.
"Kerjasama penyelidikan di antara USM dan JMM juga menghasilkan beberapa penerbitan berimpak tinggi yang telah diterbitkan di jurnal antarabangsa dan kebangsaan seperti Jurnal 'Antiquity' (Q1) dan Jurnal 'Ethnoarchaeology' (Q2).
"Saya sangat bersyukur kerana dapat memeterai kerjasama secara rasmi bagi memperkasakan lagi aktiviti penyelidikan dan latihan bersama di dalam bidang arkeologi dan warisan di Malaysia," katanya.
Melalui MoU itu, beberapa program dasar telah dan akan dirangka oleh USM dan JMM, melibatkan penyelidikan bersama dalam bidang arkeologi dan pengurusan muzium serta penyertaan bersama dalam pengurusan konservasi koleksi.
Menurut Abdul Rahman, USM melalui PPAG akan membantu JMM meningkatkan lagi kualiti penyelidikan dan konservasi secara saintifik menerusi makmal dan peralatan canggih yang ada di PPAG.
"Penyelidikan yang lebih saintifik dan menyeluruh semestinya dapat memberi nilai tambah kepada artifak dan pameran di bawah pengurusan JMM supaya dapat menambah ilmu pengetahuan yang baharu tentang sejarah dan warisan negara kepada orang ramai.
"MoU ini juga akan merangkumi kerjasama penyelidikan dalam isu-isu kajian, konservasi dan pameran arkeologi pada masa depan yang melibatkan USM dan JMM.
"Bagi pihak USM, MoU ini akan memberikan faedah dan impak dari aspek pendedahan, latihan serta penyelidikan selari dengan agenda Progam Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) USM dalam memperkasakan kelestarian budaya dan warisan negara," jelasnya lanjut.
Abdul Rahman menandatangani dokumen MoU berkenaan dengan disaksikan oleh Pengarah PPAG USM, Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon manakala Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim menandatangani bagi pihak JMM dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM, Mohamad Shawali Haji Badi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 547