SIRI TOWNHALL: ‘MENJULANG TONGGAK MALAYSIA MADANI’ DAPAT SAMBUTAN HANGAT LEBIH 500 MAHASISWA
USM PULAU PINANG, 9 Jun 2023 - Siri Townhall: Menjulang Tonggak Malaysia Madani yang diadakan di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mendapat sambutan hangat para mahasiswa USM dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain di sekitar Pulau Pinang apabila dijangka lebih 500 mahasiswa telah membanjiri lokasi.
Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), USM dan Majlis Permuafakatan Anak Negeri (MAPAN) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-kom) telah menjemput Ketua Pengarah J-kom, Dato’ Dr. Mohammad Agus Yussof dan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian selaku panel.
Siri townhall yang dikendalikan sendiri oleh mahasiswa Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Muhamad Hafizi pada kali ini telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi bual bicara di antara moderator bersama kedua-dua panel dan sesi soal jawab yang dibuka kepada semua peserta yang hadir.
Mohammad Agus ketika menjawab soalan berkenaan intipati utama kepada makna Malaysia Madani telah menerangkan beberapa nilai utama yang mendukung makna Madani untuk memudahkan pemahaman mahasiswa yang hadir dan sempat menegaskan kepada mereka agar menjadi mahasiswa yang lebih lantang untuk menentang segala jenis salah laku dengan cara yang berhikmah.
“Terdapat empat tonggak utama yang mendukung makna Madani iaitu tadbir urus yang baik bagi melawan sebarang jenis unsur rasuah dan ketirisan, memastikan keadilan undang-undang kepada semua yang bergelar rakyat Malaysia, keadilan sosial untuk semua warganegara Malaysia dan menjaga kesejahteraan rakyat seperti membasmi kemiskinan,” katanya.
Kemudian, Sivamurugan Pandian ketika menjawab soalan yang diajukan oleh moderator tentang kepentingan mahasiswa menerapkan nilai Malaysia Madani berkata, penerapan nilai Madani dalam kalangan mahasiswa amatlah penting bagi melahirkan mahasiswa kelas pertama dan warga Malaysia yang bertanggungjawab terhadap seruan kerajaan.
“Mahasiswa kelas pertama adalah mahasiswa yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang yang dipelajari dan diselaputi dengan penerapan nilai-nilai baik seperti nilai Madani di dalam diri agar dapat menjadi seorang insan yang berbudi bahasa, baik budi bicara dan budiman, berbanding dengan mahasiswa kelas kedua yang hanya mempunyai kemahiran dalam bidang yang dipelajari sahaja,” katanya.
Majlis disempurnakan lagi dengan penyampaian sijil kepada ahli MAPAN oleh Agus Yussof dan persembahan nyanyian sebelum majlis bersurai.
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (intern@MPRC)/Foto: Joshua Edwin A/L Santhanasamy (intern@MPRC)
- Created on .
- Hits: 501