USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANCAMAN SIBER NEGARA - TANGGUNGJAWAB BERSAMA

352358876 257948190248587 3929619000644314114 n

USM PULAU PINANG, 7 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre (PPBNC) dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) hari ini telah menganjurkan program Bual Bicara Siber - Cabaran Pengurusan Keselamatan.

Bertempat di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM, program bual bicara berkenaan telah disampaikan oleh dua orang panel daripada National Cyber Security Malaysia Agency (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

352321825 979687973209901 4183735145506792687 n

Program bual bicara yang disertai oleh para penjawat awam dari pelbagai agensi negeri Pulau Pinang dan mahasiswa USM tersebut telah dirasmikan oleh Pemangku Ketua Eksekutif, NACSA, Shariffah Rashidah Binti Syed Othman.

Shariffah Rashidah dalam ucapan perasmiannya berkata, keselamatan siber negara merupakan tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia.

“Kerajaan tidak boleh selesaikan masalah ancaman siber ini sendiri kerana pemantauan di peringkat NACSA mendapati bahawa ancaman siber ini berlaku tanpa henti setiap masa dan program bual bicara seperti ini amat penting untuk memberi kesedaran kepada semua yang hadir,” katanya.

Pengarah PPBNC, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian ketika menyampaikan ucapan aluannya juga bersependapat dengan Shariffah Rashidah sambil menerangkan kepada peserta tentang kepentingan mempunyai kesedaran berkenaan bahayanya dunia siber pada zaman sekarang.

“Kerjasama dalam pelbagai pihak harus dipertingkatkan setiap hari, setiap masa supaya ianya bukan sekadar menjadi tanggungjawab sesuatu agensi tetapi ianya bersifat holistik, komprehensif dan juga mampu memperlihatkan nilai kematangan dalam kalangan masyarakat sendiri agar perkara ini tidak membesar.

“Dunia siber tidak mengenal teras etnik, agama, jantina dan fahaman politik, jadi setiap yang bergelar manusia dan warga Malaysia perlu bertanggungjawab membanteras isu ini,” tambahnya.

Majlis disempurnakan lagi dengan bual bicara yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Keselamatan Siber dan Kerjasama Antarabangsa, NACSA, Ts. Saiyed Mohd Akhbarino Bin Saiyed Mohd Akhir; dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Jenayah Korporat Dan Kewangan), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Superintendan Polis Zulkeflee Bin Sulaiman.

Menerusi perkongsian daripada Saiyed Akhbarino, empat agenda telah diketengahkan oleh beliau iaitu berkenaan dengan NACSA, Strategi Keselamatan Siber Malaysia, Ancaman Siber dari Perspektif NACSA dan National Cyber Coordination & Command Centre.

Berbeza dengan perkongsian oleh Zulkeflee, perkongsian beliau adalah lebih terjurus kepada kesedaran kepada para hadirin tentang jenis-jenis jenayah penipuan dalam talian untuk memberi kesedaran yang sewajarnya.

Turut hadir Penolong Pengarah (Tentera), MKN Negeri Pulau Pinang, Mejar Jala Bin Abdullah.

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)  

  • Created on .
  • Hits: 441

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024