USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KETUA PUSTAKAWAN USM DIRAI SELEPAS HAMPIR 31 TAHUN SUMBANG KHIDMAT BAKTI

3c8e577a 791b 46dd 9ac3 bfe69725aed1

USM PULAU PINANG, 6 Jun 2023 – Ketua Pustakawan, Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Nasir Md Rashid dirai oleh seluruh warga USM ketika majlis persaraan beliau yang bertempat di Kompleks Cahaya Siswa hari ini setelah 30 tahun 11 bulan menyumbangkan khidmat bakti kepada USM.

07d8d58f 7c6e 4cd1 9625 0e92b80a598d

Majlis persaraan berkenaan telah dihadiri oleh Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali mewakili Naib Canselor; Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan-Timbalan Ketua Pustakawan; para pustakawan dan barisan kepimpinan universiti yang sama-sama hadir meluangkan masa untuk meraikan hari persaraan Mohd Nasir.

Musa dalam ucapannya telah memberikan penghormatan kepada Mohd Nasir di atas segala komitmen yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau di Perpustakaan USM.

“USM juga turut berbangga dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh Perpustakaan ketika di bawah kepimpinan Mohd Nasir kerana beliau merupakan seorang figura yang sangat kreatif dan berani berinovasi sehinggakan projek-projek yang diusahakan beliau adalah terkehadapan berbanding perpustakaan universiti akademik yang lain di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Musa juga berkongsi kejayaan yang diperoleh Mohd Nasir bersama pasukannya sepanjang perkhidmatannya seperti mengetuai pelaksanaan Sistem Perpustakaan Bersepadu (KOHA), dan membangunkan sistem e-Publication.

Pada majlis tersebut juga, Mohd Nasir merasmikan aplikasi Library On The Go yang akan memanfaatkan pengguna Perpustakaan USM untuk meminjam dan memulangkan buku tanpa perlu melalui kaunter pinjaman.

3129421a ecd2 4507 91d2 1bc961491c28

Mohd Nasir dalam ucapan perpisahannya berkata kejayaan beliau pada hari ini adalah berdasarkan inspirasi daripada mantan-mantan ketua pustakawan sebelumnya selain memberikan sedikit nasihat kepada semua yang hadir.

“Buatlah yang terbaik ketika bertugas supaya jasa kita akan sentiasa dikenang.

“Kepada ketua jabatan, jagalah staf anda sebaiknya dan jangan sekali-kali tinggalkan mereka apatah lagi menganiaya mereka, sebaliknya bimbinglah mereka untuk menjadi staf yang lebih baik.

“Kepada staf pula, taat dan hormatilah ketua anda, jangan sekali-kali anda mensabotaj bos anda,” tambahnya.

de8376aa 053d 4cdb be1b 4ac808085b37

Turut dimuatkan dalam sesi tersebut ialah tayangan video perpisahan yang disediakan khas oleh warga Perpustakaan USM dan montaj perasmian aplikasi Library On The Go.

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 378

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024