PROGRAM HOMESTAY TITIK BERATKAN KELESTARIAN
USM PULAU PINANG, 6 Jun 2023 - Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui geran Bahagian Jaringan Industri Masyarakat (BJIM) USM dengan kerjasama Kelab Antropologi dan Sosiologi (ANSOS) USM baru-baru ini telah menganjurkan program membantu melestarikan pengusaha Homestay Kampung Baru Batu 28, Lenga, Muar Johor.
Program ini bertujuan untuk mengkomersilkan produk homestay melalui platform perniagaan digital, yang mana program ini telah membantu pengusaha homestay untuk membuat pemetaan semula produk pelancongan yang berasaskan seni dan budaya warisan masyarakat Jawa, merangkap pakej pelancongan baru, meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui peningkatan kemahiran hospitaliti dan literasi digital.
Menurut Ketua Projek yang juga merupakan pensyarah PPSK, Profesor Madya Dr. Nor Hafizah Selamat, program yang bertemakan ‘Melestarikan Semula Program Homestay’ ini adalah penting untuk melindungi, menggiatkan dan menggunakan aset semula jadi dan budaya dengan cara yang lestari untuk menjana sumber pendapatan oleh masyarakat luar bandar terutamanya setelah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Selaras dengan Dasar Pelancongan Negara Malaysia 2020-2030 (NTP), strategi untuk menggiatkan semula industri pelancongan ini menggunakan strategi transformasi bagi mewujudkan pendigitalan dan pelancongan pintar,” kata Nor Hafizah.
Sementara itu, Pensyarah PPSK USM, Dr. Mohd Khairuddin Mohad Sallehudin pula berkata, setakat ini program telah berjaya menghasilkan pembentukan penunjuk arah di kawasan strategik kampung, pemetaan produk pelancongan lain, pamplet pakej homestay dan video promosi pelancongan homestay yang merangkumi 3 kategori - Produk Makanan, Produk Budaya dan Bentuk Binaan Homestay.
Harapan Mohd Khairuddin, dengan segala kemahiran yang telah ditunjuk ajar kepada para pengusaha homestay, diharapkan pengusaha homestay akan lebih bersemangat untuk terus mempromosikan dengan menggunakan ilmu digital yang dipelajari bagi menaikkan semula nama program homestay.
Penasihat Kelab ANSOS, Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil pula berpendapat bahawa penglibatan mahasiswa dalam program ini menggunakan tatacara pengelolaan aktiviti pelancongan dengan cara menghormati budaya, adat istiadat serta menjaga kesejahteraan masyarakat setempat amat bertepatan dengan konsep Pelancongan Madani.
Seramai 64 orang pelajar dari Kelab ANSOS dan kelas ANSOS terlibat dalam program ini.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: ANSOS
- Created on .
- Hits: 676