USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KURSUS PENGUKUHAN TEKNIK SIASATAN DALAMAN SEKTOR AWAM ANJURAN PIPPA USM DAPAT SAMBUTAN SPA

WhatsApp Image 2023 06 06 at 1.41.48 PM

GEORGETOWN, PULAU PINANG, 4 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) baru-baru ini telah menganjurkan Kursus Pengukuhan Teknik Siasatan Dalaman Sektor Awam yang disertai oleh pelbagai agensi di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Kursus berkenaan telah berlangsung selama dua hari (30-31 Mei 2023) di sini dan mendapat sambutan daripada seramai 54 peserta daripada 38 agensi di peringkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dari seluruh negara.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Utama Zainal Rahim Seman turut memberikan sokongan kepada kursus ini apabila beliau hadir untuk merasmikan majlis penutup serta menyampaikan sijil kepada para peserta.

WhatsApp Image 2023 06 06 at 1.44.39 PM

Zainal Rahim dalam ucapan perasmian penutupnya berkongsi pengalaman beliau sepanjang berada di dalam sektor perkhidmatan awam serta memberi nasihat dan pedoman kepada para peserta untuk mengamalkan semua ilmu yang dipelajari sepanjang dua hari ini di agensi masing-masing.

“Saya yakin melalui kursus ini kesemua peserta telah didedahkan dengan tatacara siasatan, etika dan integriti sebagai Pegawai Penyiasat dan kaedah melakukan siasatan.

“Tindakan disiplin perlu diambil oleh pegawai yang bertanggungjawab apabila didapati ada pekerja yang melakukan kesalahan di tempat kerja seperti tiba lewat dan mencuri, melalui proses siasatan yang betul dan adil sebelum menjatuhkan hukuman,” katanya.

Beliau juga mengingatkan para peserta untuk menjalankan siasatan dengan penuh integriti dan etika tanpa mengira jawatan dan hubungan tertuduh.

Turut hadir di majlis penutup ini ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan dan Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi selaku pemudahcara kursus.

Shaharudin dalam ucapannya berkata pihak USM melalui PIPPA sentiasa menganjurkan pelbagai program latihan dari semasa ke semasa di dalam dan luar negara khususnya untuk membangunkan kompetensi bagi memastikan isu ketirisan dalam pengurusan organisasi dapat diselesaikan.

WhatsApp Image 2023 06 06 at 1.41.49 PM

Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM yang diterajui Pendaftar USM, Dato' Dr. Musa Ali merupakan sebuah pusat latihan berasaskan penyelidikan (a research-based training centre) hasil kolaborasi strategik antara USM dengan beberapa agensi dalam dan luar negara.

WhatsApp Image 2023 06 06 at 1.42.24 PM

Pusat ini menawarkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada kakitangan sektor awam di Malaysia dan juga negara membangun yang lain melalui program latihan kompetensi yang direka bentuk khusus oleh PIPPA dengan kerjasama rakan strategik di peringkat antarabangsa, program umum dan program berasaskan permintaan.

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Shahnizam Ab Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 469

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024