USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERHIBUR SAMBIL BERAMAL; PBT USM ANJUR PROGRAM MENGETENGAH BAKAT PELAJAR

USM PULAU PINANG, 3 Jun 2023 – Setelah tiga tahun terikat dengan keterbatasan dalam pelaksanaan program secara besar-besaran dan bersemuka akibat penularan wabak COVID-19, Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia (USM) malam ini menganjurkan kembali program persembahan kebudayaan dan hiburan – Siri Persembahan Pentas PBT USM sidang akademik 2022/2023.

May be an image of 7 people

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, program ini telah mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan apabila lebih 2,000 penonton membanjiri dewan.

Program ini berinisiatif untuk berhibur sambil beramal, yang mana 10% daripada hasil kutipan penjualan tiket iaitu sebanyak RM2,600 akan disalurkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (National Kidney Foundation, NKF).

Bertemakan ‘Nil: Beginning,’ program ini merupakan inisiatif yang sangat bermakna kerana ia menyediakan pentas bagi mahasiswa/i USM yang berbakat dalam tarian, nyanyian, lakonan dan lain-lain untuk mengetengahkan bakat masing-masing, yang mana pentas sedemikian berpotensi untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan mahasiswa/i USM.

May be an image of 10 people and flute

Hadir bagi merasmikan program persembahan tersebut adalah Setiausaha Politik kepada YB Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, YB Wong Hon Wai, mewakili Lim Guan Eng.

Hon Wai dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau yakin program ini dapat memberikan impak yang positif kepada mahasiswa/i khususnya dalam meningkatkan kemahiran sahsiah serta menimba pengalaman baharu.

May be an image of 7 people, clarinet, flute, oboe and text that says "200 正式 开幕!"

“Kejayaan program pada malam ini dapat menjadi batu loncatan ke arah masa depan, yang mana saya percaya setiap ahli-ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini akan terus mara ke depan dan menuju ke arah kejayaan cemerlang,“ kata Hon Wai.

Tambah beliau lagi, yang juga merupakan Alumni Sarjana Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, beliau amat bangga dengan PBT USM kerana telah menyumbangkan sebahagian hasil kutipan penjualan tiket kepada NKF, yang mana ianya merupakan suatu langkah proaktif dalam menyemai sifat nilai murni dalam kalangan ahli-ahli PBT USM.

Terdahulu dalam ucapannya, Hon Wai turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada USM kerana berjaya mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 yang diumumkan dua hari yang lepas, sekaligus menjadikan USM pada kedudukan nombor satu di Asia dalam ranking kelestarian tersebut.

“Pelajar-pelajar dan seluruh warga USM patut berbangga dengan pencapaian terkini ini dan meneruskan usaha dan aktiviti yang mementingkan kelestarian dan pembangunan lestari,” katanya.  

May be an image of 9 people and dais

Sementara itu, YB Goh Choon Aik, ADUN Bukit Tambun mewakili Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong, YB Yeoh Soon Hin, dalam ucapannya berkata, beliau amat mengalu-alukan para pelajar untuk menyumbang kepada ekonomi kreatif Pulau Pinang dengan menonjolkan bakat mereka melalui persembahan seni dan budaya seperti yang dipersembahkan dalam program ini.

Turut diumumkan ialah kerajaan negeri Pulau Pinang melalui pejabat YB Yeoh akan menyumbang sebanyak RM5,000 kepada PBT USM untuk menjayakan program ini.

Menurut Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Jelfariny Mohd Jelahni mewakili Timbalan Naib Canselor HEPA USM, beliau amat berbesar hati dengan dedikasi ahli-ahli jawatankuasa program ini kerana mereka bukan sahaja menjayakan program ini, tetapi pada waktu yang sama mereka juga mempelajari kemahiran-kemahiran yang baharu seperti komunikasi, kerjasama, kepimpinan dan lain-lain.

“USM sebagai universiti APEX dan salah sebuah universiti penyelidikan yang tersohor di negara kita dan serantau, bermatlamat untuk memupuk mahasiswa/i dengan elemen dan atribut HEBAT, iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking dengan menghasilkan mahasiswa/i USM yang seimbang bukan sahaja dari segi akademik, malah dari segi insaniah dan sahsiah juga,” jelas Jelfariny.

Yang di-Pertua PBT USM, Choo Xuan Ping dalam ucapannya berkata, PBT USM akan terus menyahut seruan agenda pemerkasaan mahasiswa seiring dengan agenda HEBAT yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

May be an image of 2 people, lighting and violin

May be an image of 4 people and people dancing

Sementara itu, Pengarah Projek Siri Persembahan Pentas PBT USM 2022/2023, Heng Yew Ken pula berkata, diharapkan agar semua ahli-ahli jawatankuasa program mendapat pengalaman dan pengetahuan yang berharga sepanjang pelaksanaan program ini yang dapat dimanfaatkan apabila mereka masuk ke alam pekerjaan kelak.

Sebanyak lapan persembahan berbentuk tarian moden dan kebudayaan dipersembahkan oleh para pelajar PBT USM dan turut diselitkan adalah persembahan daripada Kumpulan Adikarma USM.

Hadir sama pada majlis adalah Penasihat PBT USM, Lee Lin Ling; wakil NKF; pegawai-pegawai utama USM dan ahli-ahli jawatankuasa PBT USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 510

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024