PIMPIN KELESTARIAN: USM KEKAL KEDUDUKAN #4 TERBAIK DUNIA
USM PULAU PINANG, 2 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023, walaupun lebih banyak institusi yang mengambil bahagian pada kali ini.
Ia sekaligus menjadikan USM di kedudukan #1 di Asia dalam ranking kelestarian itu, selain USM unggul di kedudukan pertama dalam SDG16 iaitu Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh.
Hal ini menyaksikan status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang dianugerahkan kepada USM sejak tahun 2008 berjaya direalisasikan melalui visi Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok dan moto ‘Kami Memimpin’.
Ia turut mengenengahkan bagaimana USM menyemai keunikannya untuk berdiri teguh dan menyerlah dalam kalangan institusi pengajian tinggi, bukan sahaja di persada negara namun di peringkat global.
Senarai The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 melibatkan penilaian terhadap 1,591 institusi di seluruh dunia (berbanding 1,410 institusi pada tahun 2022) berdasarkan kepada pencapaian dalam aktiviti dan program yang berkaitan dengan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals (SDG) itu.
Pencapaian universiti-universiti di dunia dalam setiap daripada 17 (SDGs) yang ditetapkan akan menentukan kedudukan mereka dalam ranking yang dibuat secara tahunan itu.
Mengulas pencapaian terkini USM, Naib Canselornya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sebagai satu-satunya Universiti APEX di negara ini, USM memahami bahawa amalan kelestarian melangkaui batas akademik dan bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelajar dan kakitangannya supaya menjadi warga global yang bertanggungjawab.
“Dengan menerapkan prinsip kelestarian dalam pengajaran dan penyelidikannya, USM memperkasakan individu untuk menangani cabaran kompleks melalui penyelesaian inovatif dan menjadi pendukung kepada pembangunan lestari dalam bidang masing-masing.
“USM berbangga dengan pencapaian ini kerana ia menyerlahkan dedikasi USM untuk mencipta masa depan yang lestari, memacu perubahan positif dan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin yang akan membentuk dunia yang mengutamakan kesejahteraan manusia dan planet ini,” katanya.
USM berada pada kedudukan tertinggi bagi tiga SDG iaitu SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh), SDG 2 (Sifar Kelaparan) dan SDG 1 (Tiada Kemiskinan).
SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat) juga adalah penilaian mandatori yang turut diambil kira dalam pengiraan pencapaian keseluruhan selain daripada tiga yang tertinggi seperti yang disebutkan.
Terdahulu pada tahun 2022, kedudukan ke-4 dikongsi antara USM dan Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, USM telah meningkatkan usahanya dalam bidang akademik, penyelidikan, aktiviti-aktiviti jaringan industri dan komuniti serta kolaborasi di antara institusi.
USM mengekalkan statusnya sebagai satu-satunya Universiti di Malaysia yang berstatus APEX yang dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas usaha berterusan dalam menjalankan pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan mendukung kelestarian, memperkasa golongan terkebawah dan juga menyokong matlamat SDG.
Teks: MPRC & CGSS USM
- Created on .
- Hits: 639