USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TNC HEPA USM DILANTIK KETUA PENGARAH PENDIDIKAN TINGGI BAHARU

WhatsApp Image 2023 05 31 at 4.31.04 PM

PULAU PINANG, 31 Mei 2023 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Azlinda Azman di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa hari ini sehingga 30 Mei 2025.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan, pelantikan Azlinda adalah bagi menggantikan Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar yang telah bersara wajib pada 10 Mac 2023.

WhatsApp Image 2023 05 31 at 4.30.38 PM

“Selain memiliki pengalaman kerja dan pentadbiran yang luas, Azlinda juga merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang disegani terutama dalam bidang kerja sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama Kebangsaan Pendidikan Kerja Sosial Malaysia dan juga merupakan Konvenor Kumpulan Tindakan dan Penyelidikan AIDS (AARG), USM sejak 2011,” menurut kenyataan itu.

Azlinda, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kerja Sosial) dari USM sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang sama.

Beliau antara segelintir individu yang terpilih dan dianugerahkan Biasiswa Fulbright untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dalam Kerja Sosial Klinikal di New York University (NYU), Amerika Syarikat.

Pada 2021, beliau telah dianugerahkan Ikon Akademik Kerja Sosial oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dengan rekod kepimpinan dan pencapaian pendidikan yang cemerlang, Kementerian yakin bahawa pelantikan Azlinda berupaya melonjak prestasi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) ke tahap yang lebih tinggi dan turut memperkasa ekosistem pendidikan tinggi berpaksikan kecemerlangan.

Sumber: Kenyataan Media KPT, 31 Mei 2023

  • Created on .
  • Hits: 573

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024