USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA: WARGA KAMPUS DISERU PERANGI ROKOK DAN 'VAPE'

f7d919d8 029e 4eb8 b81d fb42c0374ce0

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2023 – Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) 2023 merupakan platform terbaik bagi menyemarakkan semangat warga kampus untuk menjadikan Kampus Kesihatan Bebas Tembakau serta ke arah masyarakat sihat tanpa amalan merokok dan 'vaping'.

387512c9 2311 40b7 aeac 0c4420b27642

Hari Tanpa Tembakau Sedunia atau lebih dikenali ‘World No Tobacco Day’ (WNTD) disambut di seluruh dunia pada 31 Mei setiap tahun. Sambutan ini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit serta mortaliti yang disebabkan oleh merokok.

76f704f9 6d9c 4d16 9132 9586005c18a9

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, Klinik Berhenti Merokok di bawah kelolaan Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Hospital USM dan Jabatan Perubatan Keluarga sangat komited dan aktif dalam menjalankan program untuk meningkatkan kesedaran, pencegahan dan rawatan berhenti rokok dan rokok elektronik (vape) sama ada di dalam mahupun luar USM.

"Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di KRK, Hospital USM telah membantu pesakit untuk berhenti dan bebas dari merokok termasuk pesakit rujukan dalaman ataupun kes ‘walk-in’ dari luar USM.

“Selain perkhidmatan bantuan berhenti merokok di klinik sejak tahun 2015, Jabatan Perubatan Keluarga giat mengadakan program bersama komuniti dan sekolah-sekolah di seluruh Kelantan serta luar Kelantan untuk memberi kesedaran kepada orang awam terutama pelajar sekolah, mahasiswa universiti serta kolej tentang bahaya rokok dan 'vape' serta kepentingan generasi bebas merokok,” katanya.

Menurut Shaharum, orang ramai sedia maklum bahawa merawat ketagihan nikotin ini bukan sesuatu yang mudah.

"Pelbagai program komuniti juga telah giat dijalankan terutamanya kerjasama bersama kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dalam melaksanakan projek Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Usaha ini dilakukan bagi mengurangkan peningkatan perokok baharu yang kini sangat membimbangkan,” jelasnya lagi.

Shaharum turut berharap sambutan Hari Tanpa Tembakau pada tahun ini dapat meningkatkan kesedaran warga Kampus Kesihatan tentang bahaya rokok termasuk ‘vape’ dan rawatan bantuan berhenti merokok yang terdapat di Klinik Berhenti Merokok.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan merangkap Pengerusi Program Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM 2023, Dr. Nur Suhaila Idris, pula menjelaskan program itu bertujuan memperkasakan warga Kampus Kesihatan tentang kepentingan bebas dari amalan merokok, persekitaran bebas rokok dan peranan warga kampus dalam membantu masyarakat ke arah generasi bebas daripada amalan merokok.

“Merokok bukan sahaja merupakan faktor penyumbang kepada penyakit kardiovaskular, respiratori dan kanser kepada perokok, malah kepada individu yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok (secondhand smoke).

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi penghargaan kepada klien yang berjaya berhenti merokok serta mereka yang memberi sumbangan khidmat bakti terutamanya di Klinik Berhenti Merokok, KRK, Hospital USM,” ujarnya.

20e34938 5234 4444 90a2 9882fd6967a3

Sambutan yang bertemakan 'We Need Food, Not Tobacco' itu dimeriahkan dengan pengisian perkongsian ilmu daripada pakar perubatan, pameran tentang bahaya rokok, kaunter saringan Klinik Berhenti Merokok, penyampaian sijil kepada peserta yang berjaya berhenti merokok dan pemenang pertandingan poster sempena WNTD peringkat Kampus Kesihatan 2023.

Turut hadir ialah Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya & Antarabangsa), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Pengerusi Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Dr. Khairilmizal Samsudin; Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Keluarga, PPSP, Profesor Madya Dr. Imran Ahmad.

Teks: Siti Sri Mas Ismail/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 330

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024