PESTA PULAU MUTIARA, WADAH JULANG SENI BUDAYA TEMPATAN DI MATA DUNIA
USM PULAU PINANG, 28 Mei 2023 – Antara keunikan Negeri Pulau Pinang ialah kepelbagaian bangsa, agama, bahasa dan budaya dalam kalangan penduduknya.
Boria, Silat Semerap dan Ghazal Parti adalah antara khazanah budaya negeri ini yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’, namun meniti arus modenisasi ianya berisiko semakin dilupakan, khususnya oleh generasi muda.
Menyedari akan pentingnya untuk memelihara aspek warisan, seni dan budaya supaya kekal merentas zaman, Gabungan Anak Negeri Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya telah menganjurkan Pesta Pulau Mutiara.
Program yang disusun dengan pelbagai persembahan seni budaya sinonim Pulau Pinang ini bukan sahaja mengembalikan nostalgia kepada anak negeri, bahkan turut memperkenalkannya kepada warga USM serta komuniti setempat yang mungkin menyaksikannya buat kali pertama.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang hadir merasmikan Malam Kemuncak Pesta Pulau Mutiara di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) memuji inisiatif penganjur dan menyifatkannya bukan sekadar hiburan, tetapi dalam masa yang sama menjulang martabat seni budaya Malaysia di mata dunia.
Turut hadir bersama-sama Naib Canselor ialah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim; Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT, Hazlan Abdul Hamid; Penasihat-penasihat Gabungan Anak Pulau Pinang; dan Pengarah Projek Pesta Pulau Mutiara merangkap Yang Di-Pertua Gabungan Anak Pulau Pinang, Muhammad Haffiz Abdullah.
Teks: Amyrulhan Azhari/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 522