IPPT RANGKUL PINGAT EMAS DAN PERAK DALAM PERTANDINGAN INTELEC 2023
USM PULAU PINANG, 27 Mei 2023 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) baru-baru ini telah berjaya membawa pulang Pingat Emas dan Perak Kategori 2: Inovasi Bahan Pengajaran dan Pembelajaran dalam pertandingan Innovations in Teaching and Learning Competition 2023 (INTELEC2023).
Bertemakan ‘Teach And Learn With Passion, Innovate With Purpose, Inspire For A Lifetime!,’ pertandingan tersebut dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) dengan penglibatan seramai 140 peserta daripada 72 penyertaan.
Pertandingan ini bertujuan untuk melahirkan idea dan inovasi baharu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam perkembangan dunia pendidikan yang kompetitif.
INTELEC2023 terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori 1: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran dan Kategori 2: Inovasi Bahan Pengajaran dan Pembelajaran.
Pasukan yang menerima Hadiah Pingat Emas terdiri daripada Profesor Madya Dr. Norehan Mokhtar selaku Ketua Pasukan bersama ahli kumpulan yang lain, iaitu Dr. Gururajaprasad KL Rao, Dr. Fakhitah Ridzuan, Syaidatul Salmah Nurbalqis Saiful dan Muhammad Idham Abd Hamid.
Tajuk yang dipertandingkan adalah ‘MAR-ORTHO-EDU: Markerless Haptic Enabled Mobile Augmented Reality System for Orthodontic Education’ yang mengetengahkan idea penggunaan aplikasi mudah alih untuk pembelajaran ortodontik yang mana sistem ini membolehkan pelajar ortodontik mengakses aplikasi pada telefon mudah alih mereka, yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
MAR-ORTHO-EDU juga memanfaatkan disonansi kognitif, iaitu perasaan ketidakselarasan antara pengetahuan yang ada dan pengalaman yang sedang berlangsung.
Dengan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR), sistem ini membantu pelajar ortodontik memahami dan menghubungkan konsep-konsep kompleks dengan lebih baik.
Objektif utama MAR-ORTHO-EDU adalah untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dan mencapai kecekapan klinikal yang lebih tinggi; yang mana dengan menggunakan sistem ini, pelajar dapat berlatih dalam persekitaran yang personal dan mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat.
Ini membolehkan mereka mempelajari ortodontik dengan lebih efektif dan memperoleh kemahiran klinikal yang diperlukan dalam bidang pergigian.
Manakala bagi Hadiah Pingat Perak pula dimenangi oleh pasukan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya bersama ahli pasukannya iaitu Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Dr. Nurhuda Mohamad Ansor, Nurul Huda Abdul Jais dan Salmiza Zakaria dengan tajuk ‘The Continuous Education in Biomedical Sciences at IPPT (CEBioMeds@IPPT): An Innovative Teaching and Learning Platform To Promote a Lifelong Education’.
Ia mengetengahkan idea pembangunan CEBioMeds@IPPT yang merupakan modul yang berstruktur untuk Kursus Pembangunan Profesional dalam bidang Sains Bioperubatan.
Modul ini merangkumi pelbagai kursus antara disiplin yang diatur dalam beberapa pakej modul secara dalam talian.
CEBioMeds dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan IPPT yang melibatkan pembangunan platform dalam talian serta modul-modul pembelajaran yang merangkumi topik-topik sains terkini merentasi sempadan pembelajaran secara konvensional.
Ia direka khas untuk memenuhi keperluan pelajar penyelidikan pasca siswazah di IPPT dan USM, yang membenarkan mereka mendaftar pada bila-bila masa dan dari mana-mana tempat pelajar berada.
Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan program latihan yang terstruktur yang dapat menghasilkan graduan penyelidikan yang berkemahiran tinggi dan sesuai dengan pasaran kerja.
Maklumat lanjut berkaitan dengan CEBioMeds boleh diperoleh di platform https://cebiomeds.amdi.usm.my/
Teks: Naziroh Shafii, PM Dr. Norehan Mokhtar, PM Dr. Badrul Hisyam Yahaya, (IPPT)/Suntingan: MPRC USM Kampus Induk
- Created on .
- Hits: 483