PHYSITURE - PELAJAR USM BERSIH PANTAI AWAM TELUK BAYU, TINGKAT KELESTARIAN ALAM SEKITAR
TELUK KUMBAR, 28 Mei 2023 – Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan aktiviti membersihkan pantai Teluk Bayu dengan kekuatan seramai 35 orang pelajar dan pegawai.
Menurut Pengarah Projek “Physiture: Better Environment, Better Health”, Muhammad Adifitri Bin Mohd Rozali, aktiviti membersihkan pantai bukan sahaja dapat menyelamatkan alam sekitar malahan juga dapat menyihatkan badan kita, sebagai contohnya apabila kita mengangkat dan mengutip bahan buangan yang ada di sekitar kawasan ini, tubuh badan kita sentiasa bergerak dan ia juga dianggap sebagai aktiviti fizikal yang dapat beri banyak manfaat kepada tubuh badan mahupun mental kita.
“Harapan saya agar pelajar USM dapat terus komited untuk menyertai program sebegini dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar dan kesihatan diri agar generasi yang akan datang dapat merasai nikmat hidup yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nurhafiza Huda Binti Idris pula berkata, MBPP sentiasa menyokong program yang melibatkan komuniti, masyarakat dan universiti yang bertujuan mendidik generasi kini untuk terus memelihara dan memulihara serta menjaga kebersihan pantai dan alam sekitar.
“Pendidikan berkaitan penjagaan kebersihan pantai amatlah penting kerana untuk menjadikan sesebuah komuniti itu berilmu bukanlah suatu perkara yang mudah, ia memerlukan masa dan pendekatan yang betul,” jelasnya.
Tambahnya, bukan mudah untuk MBPP menguruskan sampah yang banyak saban hari, jadi dengan mendidik generasi kini, diharap mereka akan mengurangkan pembuangan sampah.
Bagi Ketua Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Danny Koay Hock Hsiang, pencemaran laut adalah satu perkara yang serius, dan ia mampu jejaskan pendapatan nelayan serta ekosistem sekitar.
“MBPP mengutip setiap hari 700 tan sampah di Pulau Pinang dan ini tidak termasuk sampah dari luar,” katanya ketika merasmikan program mewakili Datuk Bandar Pulau Pinang, Dato’ Ir. Rajendran A/L P. Anthony.
Tambahnya, MBPP sentiasa mengalu-alukan kolaborasi bersama USM di masa akan datang untuk program sebegini agar mesej yang hendak disampaikan pada generasi akan datang dapat direalisasikan melalui konteks universiti.
Rata-rata pelajar yang hadir sebagai peserta sangat teruja akan peluang yang diberikan untuk menyumbang tenaga membersihkan pantai Teluk Bayu yang merupakan salah satu pantai yang menjadi tarikan umum penduduk setempat serta luar dari Pulau Pinang.
Turut hadir sama ialah Penggawa Desasiswa Restu, Ts. Dr. Shahrizal Nazri; Penasihat 1 Physiture, Nurul Farhana Che Hassan, Yang DiPertua Majlis Penghuni Desasiswa Restu Sidang Akademik 2022/2023, Shamil Shazwan bin Abu Bakar.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 862