MLK BANTU GRADUAN CIPTA PELUANG PEKERJAAN
USM PULAU PINANG, 27 Mei 2023 - Bilangan keluaran graduan di Malaysia terus meningkat setiap tahun sehingga kelayakan asas atau ijazah pertama sudah tidak lagi memadai kerana keadaan yang kompetitif untuk bersaing bagi mendapatkan perkerjaan di luar sana.
Justeru, pentingnya bagi graduan meningkatkan kemahiran masing-masing menerusi latihan tambahan.
Universiti Sains Malaysia (USM) menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan menganjurkan Minggu Latihan Kebangsaan (MLK) Peringkat USM selama tiga hari bermula hari ini untuk memberi peluang kepada masyarakat “turut bersama universiti” dalam pembangunan ilmu, pengetahuan dan kemahiran bagi pembangunan bakat dan meningkatkan produktiviti produk masing-masing.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk “budaya pembelajaran sepanjang hayat” dalam kalangan pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira usia.
Program ini turut menyediakan pelbagai latihan dan perkongsian ilmu secara percuma merangkumi latihan daripada rakan strategik industri, bimbingan hala tuju kerjaya, keusahawanan dan kerohanian serta aspek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pembangunan Pendidikan.
Usaha ke arah penciptaan peluang pekerjaan baharu serta latihan kemahiran untuk semua lapisan masyarakat adalah tanggungjawab semua pihak demi mencapai visi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital menjelang 2030.
Hadir merasmikan MLK di Dewan Utama Pelajar USM di hadapan lebih 300 pengunjung ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Turut hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Holding Sdn. Bhd., Encik Farid Wajidi Mat Yusoff; dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Abdul Said Hussain.
Teks: Siti Sri Mas Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 519