USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JUARA MBK 2023

e7f2416b 7e87 4f44 b4f5 7ee0dbb21d84

USM PULAU PINANG, 26 Mei 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) malam ini telah muncul sebagai juara keseluruhan Malam Bumi Kenyalang 2023 (MBK 2023), iaitu acara tahunan universiti yang mempertandingkan tarian kebudayaan Sarawak.

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, program anjuran Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) USM ini telah menyaksikan PERKASA USM menewaskan 8 universiti awam (UA) yang lain dalam pertandingan seni tari budaya Sarawak.

USM turut meraih Anugerah Penari Perempuan Terbaik iaitu Felicia Tiera Ting Hui Jing, pelajar tahun 4 Pusat Pengajian Pengurusan.

c4d314b3 10a8 452a a4a9 9bd2ee67f11d

Bertemakan ‘The Legendaries: Cultural Panorama of Sarawak’s Heritage,’ acara MBK pada malam ini bertujuan untuk memperkenalkan keunikan budaya yang terdapat di Sarawak yang terdiri daripada 27 etnik kepada semua penonton yang hadir.

Perasmian program disempurnakan oleh Ir. Haji Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof.

Haji Irwan dalam ucapan perasmiaannya berkata, beliau percaya program MBK dapat memberikan penghayatan kepelbagaian kaum dan budaya yang terdapat di Sarawak dan program sebegini mencerminkan usaha dan keringat daripada setiap pihak bagi melestarikan budaya pelbagai kaum yang cukup unik.

aad018d8 0f5c 4bb1 82db ec3235e11f13

“Saya melihat program seperti ini amat penting untuk membentuk potensi diri atau soft skills/kemahiran insaniah pada diri mahasiswa dan mahasiswi supaya mereka lebih berdaya saing dalam dunia kerjaya kelak,” katanya.

Sementara itu, wakil Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab dalam ucapannya berkata, beliau melihat program ini sebagai sebuah program yang sangat berprestij dan mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam pelbagai aspek.

“Hal ini selaras dengan elemen HEBAT yang diperkenalkan ke arah apresiasi seni serta semangat kerjasama berpasukan dalam menjayakan program ini,” kata Habibah.

ff19ee92 7968 4f91 bd05 149e0c570052

Menurut Pengarah Projek MBK, Masing Anak Beti pula, beliau yakin suasana dan pengalaman MBK 2023 akan menjadi suatu kenangan yang tidak akan dilupakan dan sekembalinya MBK sudah pasti mengubati kerinduan para siswa siswi USM khususnya kepada mereka yang pernah menyaksikannya pada tahun 2020 yang lalu.

“Please enjoy your night. MBK is back! We are the Legendaries! Ohaaa!,” sorak Masing di akhir ucapannya.

Antara 7 universiti lain yang turut serta dalam pertandingan ini ialah Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Naib Johan dan tempat ketiga MKB 2023 masing-masing jatuh ke tangan UPSI dan UMP.

Program MBK 2023 turut ditayangkan secara langsung melalui pautan Facebook dan Tiktok rasmi PERKASA USM.

Turut memeriahkan majlis adalah persembahan daripada Bob Yusof yang merupakan anak kelahiran Limbang, Sarawak yang juga merupakan salah seorang finalis program Akademi Fantasia musim 2.

Hadir sama pada MBK 2023 adalah Pengarah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM, Profesor Madya Dr. Muhizam Mustafa; Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Jelfariny Mohd Jelahni; Penasihat PERKASA USM, Fadzilla Bosman; Yang Di-Pertua PERKASA USM, Muhammad Ramadhan Sa’at dan pegawai-pegawai utama USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 614

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024