PUSAT SEJAHTERA SERU WARGA USM WASPADA ANCAMAN DENGGI
USM PULAU PINANG, 25 Mei 2023 – Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mengeluarkan hebahan menyeru semua warga USM untuk sentiasa berwaspada dengan ancaman denggi melalui Hebahan Umum: Cegah Wabak Denggi Di Sekitar USM.
Inisiatif yang dilakukan oleh Pusat Sejahtera ini adalah berikutan penularan kes wabak denggi yang telah berlaku di dalam kawasan Desasiswa Cahaya Gemilang USM.
Hebahan umum yang dilakukan oleh Pengarah Pusat Sejahtera (Kesihatan & Pergigian), Dr. Ahmad Zaimi Abdul Latiff melalui e-mel kepada semua warga USM itu merangkumi poster berkenaan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes, poster langkah pencegahan daripada gigitan nyamuk aedes dan juga seruan kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM yang lain untuk melakukan gotong-royong.
“Staf dan pelajar diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan wabak denggi yang boleh membawa maut.
“Sehubungan dengan itu, dinasihatkan agar semua PTJ untuk menjalankan aktiviti gotong-royong cari dan musnah di kawasan masing-masing bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk atau tempat berpotensi pembiakan nyamuk di sekitar kawasan anda,” tambahnya.
Selain itu, Pusat Sejahtera dan pihak yang terlibat telah menjalankan gotong-royong cari dan musnah di kawasan wabak (Desasiswa Cahaya Gemilang) dan kawasan sekitar bagi mengelakkan penularan wabak denggi ini.
Antara lokasi penemuan tempat pembiakan nyamuk semasa gotong-royong cari dan musnah dijalankan adalah:
- Tapak pembinaan
- Kebun bunga dan buah yang terbiar
- Bekas makanan haiwan
- Bekas tumbuhan akuatik
Disertakan pautan laman sesawang, media sosial rasmi Pusat Sejahtera, USM dan poster berkaitan untuk rujukan berkenaan denggi dan informasi kesihatan yang lain.
https://www.instagram.com/p/CskXDslJRhR/?igshid=NjZiM2M3MzIxNA
Sumber teks dan poster: Hebahan Umum: Cegah Wabak Denggi Di Sekitar USM melalui Pentadbir Emel USM, 23 Mei 2023 oleh Pusat Sejahtera USM/Olahan: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)
- Created on .
- Hits: 409