USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED BANGUNKAN INDUSTRI MADU KELULUT DENGAN RAKAN KOLABORASI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Mei 2023 – Kelestarian lebah sangat penting kerana spesies lebah madu, kelulut atau tunggal adalah agen pendebungaan utama bagi tumbuhan yang menyambung rantaian ekosistem alam.

Berkurangnya populasi lebah akan menjejaskan pendebungaan semula jadi bagi menghasilkan sumber makanan dalam rantaian ekosistem selain turut menjejaskan kelangsungan kehidupan manusia sejagat.

Pada 20 Mei setiap tahun, warga dunia akan menyambut Hari Lebah Sedunia bagi mengiktiraf sumbangan lebah dalam pengekalan ekosistem kehidupan.

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, pada tahun ini, USM dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta Gabungan Persatuan Usahawan Kelulut Malaysia berkolaborasi menganjurkan Sambutan Hari Lebah Sedunia 2023.

“Industri berasaskan lebah sedang berkembang pesat di Malaysia dan telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu. Walau bagaimanapun, cabaran perubahan iklim, kerosakan habitat, serangan penyakit, ancaman racun perosak dan kesedaran konservasi menjadi ancaman bagi kelestarian lebah.

“Sebagai universiti penyelidikan berteraskan prinsip ‘Untuk Kelestarian Hari Esok’, USM bersama rakan kolaborasi mengambil inisiatif mengadakan Sambutan Hari Lebah ini bagi meningkatkan kesedaran umum dalam usaha memastikan kesinambungan populasi lebah selain mempromosikan kebaikan madu asli,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Lebah Sedunia 2023 di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, hari ini.

Tambah Shaharum, bagi meningkatkan input pendidikan dan jaringan, Sambutan Hari Lebah Sedunia pada tahun ini dirai bersama sempena persidangan antarabangsa ‘5th International Conference on The Medicinal Use of Honey (V-ICMUH)’ yang menghimpunkan penyelidik tempatan dan antarabangsa bagi mengetengahkan dapatan saintifik, inovasi dan penyelesaian baharu yang boleh digunakan untuk menyokong usaha memartabatkan madu dan konservasi lebah tempatan.

“USM juga mengambil inisiatif menganjurkan persidangan meja bulat bersama Jabatan Standard Malaysia dan beberapa agensi tempatan serta Persekutuan Penternak Lebah Sedunia Bahagian Asia (APIMONDIA Asia) bagi membincangkan penetapan piawaian madu kelulut antarabangsa.

“Usaha pembangunan piawaian antarabangsa ini penting untuk memastikan kawalan kualiti madu kelulut bagi kepentingan pengguna serta memudahkan proses pemasaran madu kelulut ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, bertemakan ‘Emergence of Kelulut Honey’, sambutan ini diadakan bertujuan memperingati kemunculan penternakan lebah kelulut yang mengubah lanskap industri madu negara.

“Kajian terkini menunjukkan madu kelulut mempunyai ciri unik gula trehalulose dan bahan antioksida yang lebih tinggi berbanding madu lain serta memberi kesan positif bagi kawalan stres dan depresi.

“Melalui program translasi penyelidikan untuk meningkatkan pengeluaran madu dan mengimbangi permintaan, inisiatif ‘Kelulunomic’ telah digerakkan oleh USM melalui pengenalan piawaian penternakan dan inovasi-inovasi berpaten dalam penternakan kelulut yang telah memastikan rantaian madu kelulut asli dan berkualiti dibangunkan.

“Sehingga kini, lebih daripada 4,000 penternak kelulut baharu telah dilatih dan berjaya menghasilkan pengeluaran madu premium mencecah 100 tan setahun,” jelasnya lagi.

Shaharum berkata, sempena sambutan ini juga, pameran dan jualan madu asli, teknologi penternakan, makanan kesihatan dan pameran penyelidikan lebah oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi tempatan turut diadakan.

“Selain itu, saringan pemeriksaan kesihatan percuma, bengkel asas penternakan kelulut, bengkel pembiakan dan penggandaan koloni lebah, pembuatan sabun, bengkel Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia untuk lebah (MyGAP-AM) dan bengkel pemprosesan produk roti lebah turut berlangsung sepanjang program ini.

“Sambutan Hari Lebah Sedunia pada tahun ini dijangka menjadi momen yang sangat penting untuk semua pihak berkepentingan dan pencinta lebah berkolaborasi membentuk satu ekosistem yang mampu membuat transformasi strategik bagi kelestarian lebah serta penghasilan madu asli yang bersih dan berkualiti,” ulasnya lanjut.

Hadir merasmikan sambutan tersebut ialah Tengku Laksamana Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Turut hadir Tengku Puan Laksamana Kelantan, Yang Amat Mulia Dato' Seri Diraja Sharifah Azwan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail; Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori), Jabatan Pertanian Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Nor Sam Alwi; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMT, Profesor ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK, Profesor Ts. Dr. Arham Abdullah; Pengarah, Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inkubator Penyelidikan mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UniSZA, Profesor Ts. Dr. Mokhairi Makhtar; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Presiden Persekutuan Persatuan Penternak Lebah Sedunia (APIMONDIA Asia), Profesor Madya Dr. Orawan Duangphakdae; dan Pensyarah, Pusat  Pengajian Sains Perubatan merangkap Pengerusi V-ICMUH dan Sambutan Hari Lebah Sedunia 2023, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 416

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024