PPUSMB LAKAR SEJARAH PEMBEDAHAN PERTAMA VASKULAR
PPUSM BERTAM, PULAU PINANG, 24 Mei 2023 – Sekumpulan pasukan medik baru-baru ini telah melakar sejarah di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) apabila berjaya melakukan pembedahan vaskular yang pertama di sini pada 12 Mei yang lalu.
Pasukan pembedahan yang diketuai oleh Pakar Bedah Vaskular kunjungan dari Hospital USM (HUSM), Dr. Rosnelifaizur Ramely dengan bantuan Pakar Bedah Am PPUSMB, Dr. Fitreena Anis Amran bersama Pakar Bedah Hospital Seberang Jaya (pakar yang merujuk pesakit), Dr. Firdaus Luthfi dan Pakar Bius PPUSMB, Dr. Zainab Abdul Ghaffar melakukan pembedahan ke atas pesakit yang mengalami masalah 'Left brachiocephalic fistula aneurysm'.
Bagi kes pembedahan vaskular yang pertama kali dilakukan di PPUSMB, pembedahan yang dilakukan ke atas pesakit adalah 'Left BCF Aneurysectomy and End to End Anastomosis'.
Pembedahan tersebut bertujuan untuk mengecilkan kembali saiz anuerysm salur vena pesakit yang telah kembang sebesar 12cm dan mengelakkan aneurysm pesakit pecah.
Kes membaik pulih saluran darah ini merupakan kes pertama yang dilakukan di PPUSMB dan pesakit juga merupakan pesakit pertama yang menjalani rawatan hemodialisis di PPUSMB di bawah seliaan Dr. Siti Khairizan.
Pembedahan tersebut mengambil masa 4 jam. Seusai sudah pembedahan, pesakit dipantau di Unit Rawatan Rapi PPUSMB untuk diberikan rawatan yang terbaik jika berlaku sebarang komplikasi daripada pembedahan tersebut. Pesakit dibenarkan balik pada hari keempat selepas pembedahan.
Sejak penjenamaan semula PPUSMB pada bulan September 2022, pusat perubatan ini telah menjalankan pembedahan fistula untuk pesakit kegagalan buah pinggang di bawah pakej eksekutifnya.
Pembedahan fistula merupakan suatu prosedur salur darah vena pesakit disambung ke salur darah arteri pesakit untuk tujuan dialisis.
Sejak itu, PPUSMB telah melebarluaskan perkhidmatannya dengan menyediakan perkhidmatan pakar bedah vaskular secara kunjungan dari HUSM, Kubang Kerian iaitu Dr. Rosnelifaizur Ramely pada setiap bulan.
Kes-kes pembedahan vaskular dan fistula yang rumit diteliti oleh beliau dan pembedahan akan dilakukan sama ada di PPUSMB ataupun di HUSM mengikut kesesuaian kes.
Teks Dr. Fitreena Anis Amran/Suntingan: Naziroh Shafii (PPUSM Bertam) & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 390