GSB USM MENYUMBANG KEPADA PEMBANGUNKAN BAKAT TENAGA KERJA FLEX
USM PULAU PINANG, 19 Mei 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan atau Graduate School of Business (GSB) bersama Flextronics Technology (Malaysia) Sdn. Bhd. (FLEX) hari ini telah menganjurkan Majlis Graduasi Program Profesional FLEX-USM 2023.
Majlis gilang-gemilang ini telah meraikan seramai 157 pekerja FLEX yang berjaya menamatkan pengajian di bawah Centre for Executive Education and Development (CEED), GSB, USM di dalam kursus akademik berikut:
- Sarjana Profesional dalam Pengurusan & Kepimpinan Strategik / Professional Masters in Strategic Management & Leadership (PMISML);
- ljazah Eksekutif dalam Pengurusan Pembuatan / Executive Degree in Manufacturing Management (EDMM);
- Sijil Profesional dalam Pengurusan Penyeliaan / Professional Certificate in Supervisory Management (PCISM);
- Sijil Profesional dalam Pengurusan Projek / Professional Certificate in Project Management (PCIPM).
Hadir menyempurnakan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; bersama Naib Presiden Operasi, Flextronics Technology (Malaysia) Sdn. Bhd., Viswanathan Paramasivam; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Dekan GSB, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim dan dif-dif kehormat.
Fathyah dalam ucapan alu-aluannya berkata, kerjasama yang dimulakan pada tahun 2018 di antara GSB USM dan FLEX sentiasa menunjukkan hasil yang positif apabila semakin banyak program yang ditawarkan kepada pekerja-pekerja dari pelbagai peringkat.
“Melalui program-program yang ditawarkan, para graduan mendapat keistimewaan untuk belajar secara terus daripada pensyarah-pensyarah yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam pelbagai bidang selain dapat menerima perkongsian pengalaman daripada pakar-pakar industri.
“Kajian kes praktikal, perbincangan dan aktiviti kelas interaktif telah memberikan anda semua pemahaman yang lebih mendalam tentang bidang yang dipelajari, meluaskan kebolehan pemikiran strategik, dan meningkatkan keupayaan kepimpinan dan membuat keputusan,” tambahnya.
Berucap mewakili FLEX ialah Naib Presiden Operasi, Viswanathan Paramasivam, yang berkata, sepanjang 10 tahun yang lalu, FLEX dengan bangganya telah menaja sepenuhnya lebih daripada 1,000 pekerja untuk melanjutkan pelajaran mereka dengan kerjasama kolej dan universiti tempatan.
“Setiap pekerja kami berperanan dalam membangunkan produk hebat pelanggan kami setiap hari, melalui bakat, semangat dan kepakaran mereka.
“Salah satu cara kami menjaga kebajikan pekerja kami adalah dengan melabur dalam pembangunan kendiri mereka, dan kami sentiasa berusaha untuk memastikan setiap ahli pasukan kami mampu untuk mencapai potensi penuh dirinya,” katanya.
Hasil kolaborasi kedua-dua belah pihak ini adalah bertepatan dengan matlamat organisasi masing-masing iaitu penumpuan kepada kelestarian semua pihak (USM) dan pemberian peluang pembelajaran sepanjang hayat (FLEX).
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)
- Created on .
- Hits: 561