USM SKKT PERKUKUH SENI DAN BUDAYA PADA ULANG TAHUN KE-10
USM PULAU PINANG, 21 Mei 2023 – Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah menjangkau usia ke-10 tahun pada bulan Mac yang lalu, hari ini telah melabuhkan tirai dengan jayanya melalui program khas secara besar-besaran yang dihadiri hampir 2,000 orang penonton di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini.
Bertemakan Transcendence, program pada malam ini bertujuan untuk mengenang perjalanan USM SKKT selama 10 tahun penubuhannya, dengan memperkukuh penghayatan seni dan budaya sebagai legasi yang selaras dengan pendekatan HEBAT, yang menekankan pemikiran saintifik dan apresiasi seni dalam elemen Balanced.
Hadir bagi merasmikan majlis penutup adalah Presiden Persatuan GRADUAN Muda Malaysia, Alvin Yap Chee Wah.
Alvin Yap yang merupakan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) SKKT dalam ucapan perasmiannya berkata, USM SKKT telah memberikan peluang kepada generasi muda untuk mendalami dan menghormati kepebagaian budaya Malaysia, secara tidak langsung ianya dapat menghasilkan pemimpin yang cemerlang.
“Berbanding dengan kelab dan persatuan yang lain, USM SKKT telah berjaya memenangi pencapaian Anugerah Persatuan Terbaik Tahunan sebanyak dua kali berturut-turut semasa Majlis Penyampaian GRADUAN Paper Plane Award, yang mana kejayaan ini merupakan hasil komitmen sekretariat terhadap pemeliharaan warisan, kegigihan dan perhatian terhadap kualiti serta perincian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan,” kata Alvin.
Sementara itu, wakil Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Jelfariny Jelahni dalam ucapannya berkata, seiring dengan sambutan ulang tahun ke-10 USM SKKT, kepelbagaian budaya di Malaysia sememangnya menjadi keistimewaan dan kebanggaan kita.
“Setiap individu mesti memikul tanggungjawab masing-masing untuk mewariskan kebudayaan ini dari generasi ke generasi.
“Memandangkan Pulau Pinang memang terkenal dengan kekayaan budaya Tionghua, saya berharap agar USM SKKT akan bijak menggunakan peluang yang sedia ada untuk menganjurkan lebih banyak program yang berfaedah supaya dapat menyebarkan ilmu berkaitan budaya Tionghua kepada masyarakat umum, dan semestinya pihak universiti akan terus menyokong program-program seumpama ini,” kata Jelfariny.
Menurut Pengarah Projek Program Sambutan Ulang Tahun ke-10 USM SKKT merangkap Yang Dipertua USM SKKT, Sydney Lim Xin Ni pula, konsep tema Sambutan Ulang Tahun ke-10 ini iaitu Traces of Time melambangkan kepentingan penggunaan masa yang terhad untuk menghasilkan nilai yang tidak terhad bagi masyarakat dan diri sendiri.
“Harapan saya agar sambutan ini dapat memperkenalkan tradisi dan nilai kebudayaan Cina kepada masyarakat di samping untuk mendedahkan pelajar-pelajar USM kepada visi dan misi USM SKKT dengan mendalami semangat kekitaan dalam kalangan ahli sekretariat,” katanya.
Hadir sama adalah pegawai-pegawai utama USM, Alumni USM SKKT, ahli-ahli jawatankuasa kerja Program Sambutan Ulang Tahun ke-10 USM SKKT, ahli-ahli USM SKKT dan para penaja program. Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa SKKT dari beberapa IPTA dan IPTS seluruh negara.
Antara aktiviti lain yang dijalankan dalam program sambutan adalah bengkel kebudayaan, permainan, jualan barangan cenderahati yang dihasilkan sendiri oleh ahli-ahli USM SKKT, dan sebagainya.
Para hadirin turut disajikan dengan pelbagai persembahan berunsur kebudayaan yang cukup menarik dan memukau perhatian termasuk persembahan tarian tradisional dari Kumpulan Kesenian Adikarma USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 854