USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INTELEC 2023 CUNGKIL BAKAT BAHARU INOVASI TEKNOLOGI PdP

USM PULAU PINANG, 17 Mei 2023 – Penganjuran Innovations In Teaching And Learning Competition (INTELEC 2023) atau Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran diharap mampu mencungkil bakat-bakat baharu dalam inovasi teknologi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) masa kini yang bertepatan dengan misi besar Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu ‘Kami Memimpin’.

May be an image of 14 people, dais and text

Pertandingan anjuran Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) ini bertujuan untuk melahirkan idea dan inovasi baharu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (PdP) selaras dengan perkembangan dunia pendidikan yang kompetitif.

Hadir mewakili Naib Canselor ialah Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Profesor Dr. Azlan Amran bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang daripada sejumlah 72 penyertaan yang melibatkan 140 peserta yang terdiri daripada staf akademik, staf bukan akademik dan pelajar daripada ketiga-tiga kampus.

Azlan dalam ucapannya berkata beliau amat tertarik dengan tema pertandingan ini iaitu ‘Teach and Learn with Passion, Innovate with Purpose, Inspire for a Lifetime!’.

“Tema ini merupakan suatu anjakan yang sangat relevan bagi semua pendidik di universiti ini,” katanya.

Selain itu, menurut beliau nilai-nilai inovatif dalam pendekatan PdP akan sekaligus membantu kita mempersiapkan pelajar di universiti ini untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kita perlu komited untuk melahirkan pelajar yang mencapai potensi penuh sebagai seorang individu yang H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, dan Thinking) bukan sahaja dalam alam pekerjaan, malah dalam kehidupan,” tambahnya lagi.

Pengarah CDAE selaku penganjur pertandingan, Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden, dalam ucapannya berkata, INTELEC 2023 merupakan wadah utama untuk USM bagi memilih calon-calon untuk anugerah di peringkat nasional seperti Anugerah Akademik Negara.

“Pemenang-pemenang INTELEC 2023 akan dibimbing untuk menjadi calon yang mewakili USM untuk pertandingan-pertandingan peringkat nasional bagi tahun 2023 dan 2024,” katanya.

May be an image of 3 people, dais and text

5 penyertaan daripada 3 kategori telah terpilih sebagai pemenang hadiah utama dan berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000.

Majlis penyampaian hadiah INTELEC 2023 telah diadakan di Auditorium 1, Kompleks EUREKA, USM.

Pemenang bagi Kategori Kaedah Pengajaran & Pembelajaran adalah dari:

  • Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (Nur Amalina Muhammad, Hasnida Ab Samad dan Anis Masturina Azhan);
  • Pusat Pengajian Sains Komputer (Jasy Liew Suet Yan, Nasuha Lee Abdullah, Nor Athiyah Abdullah, Teh Je Sen dan Wong Li Pei)

Pemenang bagi Kategori Inovasi Bahan Pengajaran & Pembelajaran adalah dari:

  • Pusat Pengajian Sains Kesihatan (Garry Kuan Pei Ern, Kueh Yee Cheng, Vincent Tan dan Kang Ying Qi);
  • Pusat Pengajian Sains Perubatan (Zul Izhar Mohd Ismail, Anna Alicia Simok, Shamsi Amalina Shamsuddin, Muhamad Nor Firdaus Ab Rahman dan Norhana Md Arshad)

Pemenang bagi Kategori Inovasi Bahan Pengajaran & Pembelajaran adalah dari

  • Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (Muhammad Iqbal Ibrahim dan Nur Nazziera Iezzati Nazha).

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 453

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024