USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERPUSTAKAAN KEJURUTERAAN ANJUR BERSAMA PROGRAM "JOM BACA BERSAMA 10 MIN", CIPTA REKOD SEBAGAI ‘MOST PARTICIPANTS IN A SIMULTANEOUS BOOK REVIEW’ DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS

NIBONG TEBAL, 18 Mei 2023 – Perpustakaan Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya menjadi sebahagian daripada yang menyertai penganjuran program “Jom Baca Bersama 10 Minit” dan seterusnya mencipta nama sebagai Most Participants in A Simultaneous Book Review dalam Malaysia Book of Records.

20230518 113127 01

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan Kampus Kejuruteraan USM, Radia Banu Jan Mohamad, program ini merupakan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara yang bukan sahaja melibatkan perpustakaan universiti, perpustakaan awam, perpustakaan sekolah malah Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia juga.

20230518 111527

“Dari pihak USM, program ini merupakan anjuran bersama antara Perpustakaan Kampus Kejuruteraan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dengan kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang serta Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAP),” kata beliau.

“Antara objektif program adalah untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat atau kita sebut sebagai K-Society (Knowledge Society) tanpa mengira umur mereka.

20230518 105651 1

“Oleh kerana itulah, seperti yang kita dapat lihat, program ini mendapat kerjasama dari pelbagai pihak seperti BHEPA untuk penglibatan pelajarnya manakala Pusat Islam pula dijemput untuk penyertaan dari kanak-kanak taskanya,” sambung beliau.

“Semoga program hari ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak kerjasama penganjuran program antara perpustakaan dan jabatan-jabatan lain di USM demi manfaat mahasiswa serta mahasiswinya,” tambah Radia Banu.

Bagi Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) USM, Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad yang merupakan jemputan khas perpustakaan telah menzahirkan rasa sukacita beliau di atas penganjuran program ini dan menyifatkan bahawa amalan membaca itu sendiri adalah sebahagian dari asas kehidupan.

20230518 111942

“Demi mewujudkan budaya membaca ini di USM terutamanya dalam kalangan pelajar, saya menyarankan agar diadakan program seperti ini secara bulanan pula selepas ini.

“Melalui penganjurannya kelak, walau cuma 10 minit, diharap akan memberikan satu nilai pembacaan yang bermanfaat sambil membina karakter mereka terutamanya apabila melihat peranan perpustakaan universiti itu sendiri dalam membentuk diri pelajar melalui budaya membaca,” tambah beliau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Perpustakaan Kampus Kejuruteraan USM

  • Created on .
  • Hits: 248

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024