USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LAWATAN KERJA KE USM-KLE: INISIATIF PERKASA KEMASUKAN PELAJAR IKUTI PENGAJIAN PERUBATAN BERTARAF DUNIA

PULAU PINANG, 19 Mei 2023 – Program Pesisir Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditubuhkan dengan kerjasama Karnataka Lingayat Education (KLE) di Belgaum, India menawarkan persekitaran pembelajaran sains perubatan bertaraf dunia.

a091deab dc30 4cb8 a564 544a33a1fc37

Ditambah dengan segala kemudahan terbaik dan tenaga pengajar yang berpengalaman luas, Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE atau lebih dikenali sebagai USM-KLE-IMP ini menjadi destinasi terbaik bagi mereka yang ingin mengikuti pengajian perubatan terbilang.

Menurut Pengarah USM-KLE-IMP, Dr. H.B. Rajasekhar, kampus yang terletak di Belgaum, Karnataka ini bukan sekadar menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif, malah pelajar dari luar khususnya Malaysia berpeluang meneroka pelbagai keunikan dan budaya masyarakat India.

16df313c b377 437a bf0e f30bb97c2127

Katanya, segala kemudahan yang disediakan adalah seiring dengan perkembangan semasa dan pelajar turut berpeluang menggunakan segala kemudahan terkini yang dikongsi bersama Jawaharlal Nehru Medical College (JNMC), yang juga sebahagian dari Konsortium KLE Society.

“Banyak perkara yang boleh dimanfaatkan di sini. Justeru saya menyeru agar pelajar dapat menggunakan peluang yang ada untuk melanjutkan pengajian di USM-KLE-IMP ini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan bersama delegasi USM yang diketuai Timbalan Dekan USM-KLE, Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah, Penyelaras Program Usahasama Akademik USM, Prof. Madya Mohd Rizal Razali, Ketua Penolong Pendaftar Pusat Media & Perhubungan Awam, Marziana Mohamed Alias dan Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik, Fadzilla Bosman.

1a128f53 eb41 44b1 b352 7b6fb0043ae8

Rangka lawatan kerja delegasi USM ke Belgaum antara lain bertujuan untuk mendokumentasikan kerjasama di antara USM dengan KLE yang sudah mencapai usia lebih dari 10 tahun, selain memperkasa kemasukan pelajar Malaysia ke program berkenaan.

Lawatan kerja berkenaan turut mendapat perhatian Pengerusi KLE Society, Dr. Prabhakar Kore yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan delegasi USM di kampus USM-KLE-IMP.

5d64e7aa 8e16 4145 8d44 4fcf94e5957f

Sehingga kini program ini telah mengeluarkan lebih 700 siswazah Doktor Perubatan yang sebahagian besarnya ditaja oleh MARA.

KLE yang terletak di Belgaum, Karnataka, India ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan pada tahun 1916 oleh ahli-ahli akademik India yang kini berkembang dalam menyediakan pengajian bertaraf dunia sebagai sebuah konsortium yang memiliki University of KLE dan JNMC yang diiktiraf oleh kerajaan India.

USM-KLE-IMP ini turut menyediakan segala kemudahan bilik kuliah, makmal, bilik-bilik tutorial, bilik serbaguna, makmal kemahiran dan perpustakaan moden, selain bilangan cadaver yang mencukupi untuk pembelajaran secara kondusif bersama para pelajar.

86f1b6f1 77bf 4e54 a622 ccecaa874dc8

Kompleks ini turut menyediakan dua hospital latihan yang membolehkan para pelajar menjalankan proses pembelajaran amali/praktikal secara sistematik.

Program pesisir ini yang bermula dengan kemasukan pertama pada Sidang Akademik 2010/2011 seramai 48 orang pelajar yang mengikuti program Doktor Perubatan sepenuh masa selama 5 tahun kini terus berkembang sebagai antara program terbaik yang ditawarkan USM.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 698

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024