USM DAN MARA BEKERJASAMA PERSIAPKAN PELAJAR LEPASAN SPM KE MENARA GADING
USM PULAU PINANG, 20 Mei 2023 - Program GEAR Up! 2023 anjuran Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini telah masuk hari kedua dengan tujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kehidupan sebenar sebagai pelajar universiti atau institusi pendidikan yang bakal dilalui oleh mereka selepas tamat persekolahan.
Bertempat di Balai Pase’ban USM, diselitkan pada hari ini adalah sesi beramah mesra bersama Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Razlan Haji Samsuri yang mana kehadirannya adalah untuk berkongsi dengan para pelajar akan persiapan sebelum memasuki alam universiti.
Razlan dalam sesi perkongsiannya berkata, beliau melihat program ini dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk menyelami cara kehidupan sebagai warga kampus sekaligus memberikan pendedahan kepada para pelajar dalam persediaan dan pemilihan kerjaya.
“Saya ingin berpesan kepada para pelajar untuk tidak berputus asa dalam kehidupan ini kerana MARA akan sentiasa komited membantu anak-anak Bumiputera untuk terus melangkah ke aras pendidikan yang lebih tinggi,” kata Razlan.
Tambah Razlan lagi, USM merupakan antara universiti yang terbaik di Malaysia yang mana USM mempunyai kebolehpasaran yang tinggi sebanyak 90% untuk mengisi kekosongan pasaran kerja di luar sana.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak USM kerana sekali lagi menyambut baik cadangan MARA untuk merealisasikan program yang berimpak tinggi kepada generasi masa hadapan negara.
Hadir sama pada majlis beramah mesra adalah Timbalan Naib Canselor USM (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Habibah A. Wahab; Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Siti Aminah Abdul; Timbalan Pendaftar Kanan BPA, Ramli Osman; Penyelaras Program Pra-Universiti USM, Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Razali; dan Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan merangkap Ketua Fasilitator Program, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah.
Program GEAR Up! 2023 ini berlangsung pada 19 hingga 21 Mei dengan penyertaan daripada pelajar-pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu seramai 100 orang dari sekolah-sekolah di negeri Pulau Pinang.
Program Pra-Universiti USM ini disediakan dengan tujuan untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi dan berdaya saing serta mampu mengisi kekosongan pasaran kerja di luar sana, yang mana bukan hanya pencapaian akademik yang dititikberatkan, tetapi juga kemahiran yang lain termasuklah kemahiran insaniah atau soft skill.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 818