USM PERKASA BAKAT PENSYARAH DAN PELAJAR MELALUI KTP
PULAU PINANG, 5 Mei 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasa bakat para pensyarah dan pelajarnya melalui Program Pemindahan Pengetahuan atau Knowledge Transfer Programme (KTP) dan memandang tinggi idea serta buah fikiran warganya dengan meminta mengambil bahagian dalam BankIDEA@USM sebagai saluran mendepositkan idea secara terus tanpa sempadan.
Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyatakan hal ini dalam Bengkel Sesi Penilaian & Pemilihan Semula Projek-Projek Skim Geran "Knowledge Transfer Programme", Pelan Rolling Kelima & Projek Khas KTP- Melaka di sini pagi ini.
Menurut Omar, KTP berupaya membina kapasiti modal insan baharu terutamanya dalam kalangan para siswazah yang baharu tamat pengajian dengan menyertai projek-projek yang dilaksanakan di seluruh negara dengan memindahkan hasil penyelidikan universiti kepada masyarakat melalui usahasama dengan industri.
"Bengkel dua hari ini diharapkan membolehkan kita mencari hal-hal yang boleh dibuat penambahbaikan dalam menilai semula projek-projek tersebut," katanya lagi.
Menurut Naib Canselor yang juga Pengerusi Program Agenda Kritikal KTP di bawah Kementerian Pendidikan itu, pihaknya mahu lebih ramai pensyarah memahami KTP untuk menarik lebih ramai lagi menyertainya dan lebih banyak projek akan dihasilkan untuk faedah komuniti.
"Manakala BankIDEA@USM yang akan dilancarkan tidak lama lagi pula menjadi mekanisme pemudahcara untuk para pensyarah dan pelajar berkongsi idea dan pandangan tanpa ada sempadan untuk kecemerlangan universiti," tambah Omar.
Kata Omar lagi, pelaburan jangka panjang dalam pendidikan penting sebagai tunjang kepada kemajuan sesebuah negara seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berpesan kepada anak-anak muda untuk menuntut dengan sebaik mungkin dan melihat kepentingan menguasai pelbagai bahasa terutamanya Bahasa Inggeris dalam menerokai ilmu pengetahuan dan dunia seluruhnya. Teks: Siti Naquiah Abdillah
- Created on .
- Hits: 1311