PBT USM ANJUR KEMPEN INTERAKSI ERATKAN SILATURAHIM BERSAMA PBT UA LAIN
USM PULAU PINANG, 15 Mei 2023 – Badan Perkhidmatan Masyarakat (BPM) Persatuan Bahasa Tionghua (PBT), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menganjurkan Kempen Perhubungan dan Interaksi antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) USM 2023 yang berlangsung dari 13 hingga 14 Mei 2023 di Kampus Induk, USM.
Kempen ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa/i dari universiti-universiti awam yang lain dengan memberikan peluang kepada para peserta untuk meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills) seperti kemahiran kerja berpasukan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Seramai 100 peserta yang terlibat dalam kempen ini terdiri daripada peserta dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Hadir bagi merasmikan majlis penutup kempen ialah Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni (ADC) USM, Sharifah Darweena Syed Ahmad Feisal mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Sharifah Darweena dalam ucapan perasmiannya berkata, USM menggalakkan 11 unit di bawah naungan PBT USM untuk terus bergiat aktif dengan mempelbagaikan aktiviti untuk membentuk mahasiswa/i USM selari dengan elemen dan atribut HEBAT.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli BPM PBT dan ahli jawatankuasa Kempen Perhubungan dan Interaksi antara IPT yang terlibat sepanjang tempoh penganjuran kempen, yang mana saya percaya, semua kejayaan memerlukan kegigihan dan komitmen yang tinggi, tanpa usaha yang berterusan kempen ini akan terhenti separuh jalan,” kata Sharifah Darweena.
Sementara itu, Yang Dipertua PBT, Choo Xuan Ping dalam ucapannya berkata, PBT akan terus menyahut seruan USM untuk menyediakan platform untuk mengasah bakat para mahasiswa/i USM.
Pengarah Projek BPM, Tu Ger Harng dalam ucapan penutupnya pula berkata, dia dan rakan-rakan dalam jawatankuasa kerja telah menimba pelbagai ilmu dan pengalaman yang berharga sepanjang penganjuran program ini.
Turut hadir pada majlis penutup ialah Penasihat PBT, Lee Pin Ling dan pegawai-pegawai utama USM.
Teks & Foto: Badan Perkhidmatan Masyarakat, Persatuan Bahasa Tionghua USM/Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 450