USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KONGSI EKOSISTEM KEUSAHAWANAN BERBANTU TEKNOLOGI UNTUK PACU PEMBANGUNAN EKONOMI SERANTAU

KAZAN, RUSIA, 19 Mei 2023 – "Ekosistem keusahawanan berbantu teknologi, sekiranya digarap dengan betul, disokong serta dipantau dengan berkesan, mampu menjadi pemacu kepada perkembangan ekonomi serantau," demikian ujar Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed semasa menyampaikan perkongsian di 'Russia-Islamic World Kazanforum 2023'.

92b328a1 6e80 4366 b142 0af0b73ca581

Menurut Abdul Rahman, USM yang dinobatkan sebagai satu-satunya universiti berstatus APEX di Malaysia sejak tahun 2008 telah menggariskan misi, antaranya untuk menjadi universiti perintis penyelidikan rentas bidang, memperkasakan bakat masa hadapan, mengupayakan golongan terkebawah serta mentransformasikan kesejahteraan sosioekonomi mereka.

"Dalam tempoh 15 tahun ini, pelbagai usaha serta inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan bagi mencapai hasrat tersebut.

"Antaranya ialah usaha agar penyelidikan bukan terhad untuk tujuan akademik semata-mata, tetapi merungkai permasalahan akar umbi masyarakat, khususnya yang berkaitan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup, keperluan orang ramai serta meningkatkan peluang pekerjaan," katanya.

fabb2cf4 53a3 4ebe 9850 a008226fd3f5

Tambah Abdul Rahman, dengan sokongan kerajaan Malaysia menerusi pelbagai insentif serta geran penyelidikan, hasilnya digembleng melalui kolaborasi pelbagai pihak, termasuk pengkomersialan supaya impaknya dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

"Kolaborasi strategik melibatkan pemikir daripada universiti serta pemain industri merupakan resepi dalam membentuk ekosistem yang bergerak seiring bagi faedah rakyat," jelasnya lagi.

Mengulas di hadapan kira-kira 100 peserta forum segmen pendidikan, Abdul Rahman turut berkongsi bagaimana USM merangka usaha bagi memperkaya kemahiran serta mengubah pemikiran melalui pendidikan keusahawanan dan pendedahan kepada pengalaman-pengalaman sebenar.

"Antara bukti keberhasilan ialah kejayaan projek inovasi sosial penternakan lebah kelulut dan tiram dalam komuniti yang telah menambah pendapatan peserta sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka," ulasnya lanjut.

Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan kerja bersama Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin serta delegasi negara bagi menghadiri XIV International Economic Forum 'Russia-Islamic World Kazanforum 2023' yang berlangsung dari 18 hingga 21 Mei di Kazan, Rusia telah dijemput sebagai salah seorang panel forum dengan topik ‘University Technological Entrepreneurship as a Driver of Regional Economic Development’.

Teks: Amyrulhan Azhari/Foto: Ahmad Farez Ahmad Fizri

  • Created on .
  • Hits: 559

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024