USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-MARA ANJUR PROGRAM BANTU PELAJAR LEPASAN SPM TINGKATKAN KEMAHIRAN

USM, PULAU PINANG, 19 Mei 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menganjurkan perasmian Program Gear Up! 2023 (Get Ready for University Programme) bertempat di Pelinggam Cahaya, USM hari ini.

WhatsApp Image 2023 05 19 at 16.08.05

Program ini akan berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 19 hingga 21 Mei 2023 dengan penyertaan daripada pelajar-pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu seramai 100 orang dari sekolah-sekolah di negeri Pulau Pinang.

Mereka merupakan pelajar kategori B40 yang dipilih oleh MARA, yang mana program ini merupakan satu laluan untuk kesinambungan pengajian peringkat ijazah pertama dan seterusnya ke peringkat ijazah tinggi buat mereka.

WhatsApp Image 2023 05 19 at 16.08.03

Tujuan utama program adalah untuk meningkatkan nilai kepimpinan dan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebagai persediaan ke alam pendidikan tinggi di samping memberi pendedahan kepada para mereka mengenai kehidupan sebagai pelajar institusi pendidikan tinggi.

Hadir menyampaikan ucapan alu-aluan ke program adalah Timbalan Pendaftar Kanan BPA, Tuan Haji Ramli Bin Osman.

Menurut beliau, program yang akan berlangsung selama 3 hari ini akan menjadi platform kepada para pelajar untuk memulakan lakaran perjalanan baru bagi mencipta kecemerlangan untuk menjadi mahasiswa/i yang terbaik, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga sahsiah diri dan minda yang hebat pada masa hadapan.

“Program Pra-Universiti USM ini telah disediakan antara lain bertujuan untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi dan berdaya saing serta mampu mengisi kekosongan pasaran kerja di luar sana kelak.

“Justeru itu, bukan hanya pencapaian akademik yang dititikberatkan tetapi juga kemahiran yang lain termasuklah kemahiran insaniah dan soft skill,” katanya.

Turut diselitkan pada hari pertama program adalah sesi taklimat mengenai Program Pra-U USM daripada Penyelaras Program, Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Razali, dan sesi taklimat kepada para pelajar mengenai persediaan kehidupan sebagai seorang mahasiswa/i di universiti oleh Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan merangkap Ketua Fasilitator Program, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah.

WhatsApp Image 2023 05 19 at 16.08.05 1

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 567

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024