USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TAWAR KERJASAMA PROJEK INOVASI SOSIAL KOMUNITI BERSAMA INSTITUSI RUSIA

39683f28 06a8 449e 9acd e231447158ba

KAZAN, RUSIA, 18 Mei 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menawarkan peluang kerjasama dalam projek-projek inovasi sosial komuniti kepada institusi-institusi Rusia menerusi perbincangan dua hala antara delegasi Malaysia dan Rusia di Kazan Expo Centre, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, beberapa projek yang dikendalikan oleh USM menerusi Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi bersama rakan kerjasama yang terdiri daripada agensi kerajaan negeri dan korporat telah menampakkan keberhasilan yang memberangsangkan termasuk meningkatkan pendapatan serta taraf sosio ekonomi dan pendidikan dalam kalangan peserta.

793e6a1c 6bd1 4674 8fc2 1e85f96ce3cb

“USM mempunyai kelebihan dalam aspek kelestarian dan ianya diterjemahkan dengan pencapaian membanggakan iaitu menduduki tempat keempat di dunia dalam ‘Sustainability Impact Rankings’,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Abdul Rahman turut mengalu-alukan pihak Rusia untuk meneroka peluang kerjasama akademik bersama USM, khususnya program pemindahan ilmu serta pertukaran pelajar selain peluang kolaborasi penyelidikan dalam bidang yang sinonim dengan Rusia iaitu kejuruteraan aeroangkasa.

“USM menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa berminat untuk menjalin kerjasama penyelidikan terutamanya dalam bidang teknologi pelancaran roket bagi melancarkan satelit-satelit ‘Low Earth Orbit (LEO) ke orbit,” ujarnya lagi.

Abdul Rahman sedang dalam rangka lawatan kerja ke Rusia bersama Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Professor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. 

Mesyuarat delegasi kedua-dua negara turut dihadiri oleh pihak Rusia yang terdiri daripada Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi, Valery Falkov; Duta Rusia ke Malaysia, Nail Latypov; Rektor St. Petersburg State Electrotechnical University (LETI), Profesor Madya Dr. Viktor Sheludko; dan Pengarah V.N. Orekhovic Research Institute of Biomedical Chemistry, Elena Ponomarenko.

Teks: Amyrulhan Azhari/Foto: Onn Mahathir bin Md Nasir (Pegawai Khas YBM Pendidikan Tinggi)

  • Created on .
  • Hits: 413

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024