USM-TH CAKNA BANTU PELAJAR ASNAF BUKA AKAUN TABUNG HAJI
USM PULAU PINANG, 17 Mei 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Islam dengan kerjasama Tabung Haji (TH) cakna akan kepentingan pembukaan akaun Tabung Haji kepada para pelajar asnaf, fakir dan miskin.
Hasrat murni kedua-dua pihak ini direalisasikan melalui Program Pembukaan Dan Pengaktifan Akaun Tabung Haji Bagi Asnaf USM 2023 yang berlangsung selama dua hari di Masjid Al-Malik Khalid, Pusat Islam USM.
Program yang memanfaatkan seramai 1,364 orang pelajar asnaf ini diberi dalam bentuk sumbangan yang dikreditkan secara terus ke dalam akaun Tabung Haji para pelajar untuk membantu memudahkan urusan pelajar dalam membuka akaun selain memberi galakan kepada para pelajar untuk membuka akaun TH.
Bagi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, inisiatif ini merupakan satu bentuk pendekatan yang amat baik dalam memelihara kebajikan para pelajar asnaf USM yang sentiasa menjadi keutamaan universiti agar tiada antara mereka yang tercicir dalam penerimaan sumbangan sebegini.
“Kolaborasi antara TH dan USM melalui Pusat Islam ini merupakan salah satu bukti kekuatan USM yang sentiasa prihatin terhadap isu-isu terkini amnya serta membuktikan bahawa TH merupakan rakan strategik yang sentiasa berada bersama USM dalam pemerkasaan agenda kebajikan pelajar secara khususnya,” katanya.
Ketua Sektor Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan Dan Korporat, Pusat Islam USM, Ustaz Fakhrur Amirul Mohd Radzi dalam ucapannya, merakamkan tanda penghargaan kepada pihak Tabung Haji yang sentiasa prihatin terhadap keperluan pelajar asnaf di USM.
“Dengan pemberian zakat oleh Tabung Haji melalui Pusat Islam USM, banyak aktiviti yang dapat kami anjurkan untuk memanfaatkan pelajar yang memerlukan seperti pemberian duit raya, santun sahur, kit ‘ready-to-eat’ dan lain-lain lagi,” katanya.
Turut menyampaikan ucapan ialah Ketua Pemasaran Lembaga Tabung Haji Negeri Pulau Pinang, Hajah Nurul Hanis Yuslina Binti Haji Mohd Yusri yang menerangkan tentang kepentingan membuka akaun Tabung Haji di usia muda kepada para pelajar.
Hanis Yuslina juga memperkenalkan kepada para pelajar tentang aplikasi baharu Tabung Haji iaitu THiJARI yang lebih fleksibel dan mudah kerana para pengguna dapat mendaftar akaun dan memasukkan wang simpanan secara terus melalui aplikasi berkenaan.
Turut diadakan ialah aktiviti pembukaan atau pengaktifan akaun TH para pelajar di kaunter-kaunter yang disediakan di anjung masjid.
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/ Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 901