SUPP: PROF. DATO’ DR. AMIRUL DEDAH PENYELIDIKAN PENGHASILAN BIOBAHAN UNTUK KELESTARIAN
USM PULAU PINANG, 16 Mei 2023 – Pusat Pengajian Sains Kajihayat (SBS) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Syarahan Umum Pelantikan Profesor (SUPP) yang dibentangkan oleh Dekan SBS, Profesor Dato’ Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah yang bertajuk Polimer Mikrob: Merungkai Rahsia Cupriavidus Sebagai Penghasil Biobahan untuk Kelestarian.
Amirul dilantik sebagai pensyarah DS45 di SBS pada tahun 2000 dan semasa perkhidmatannya, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Kedoktoran di USM secara sambilan di bawah penyeliaan Profesor Dato’ Dr. Mohamed Isa Abd Majid dan Professor Dr. Mohd Azizan Mohd. Noor dalam bidang Bioteknologi (Biopolimer) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 2007.
Bermula tahun 2001, Amirul aktif menjalankan penyelidikan berpandukan biopolimer daripada mikrob sehingga telah memencilkan bakteria penghasilan biopolimer P(3HB-ko-4HB) dari genus Cupriavidus yang pertama di Malaysia.
Penyelidikan beliau tertumpu kepada biopolimer terutama Polihidroksialanoat (PHA) sejak tahun 2001 telah menghasilkan penerbitan lebih daripada 140 artikel dalam jurnal saintifik berwasit, termasuk jurnal berprestij tinggi dalam bidang berkaitan.
Syarahan Amirul menyentuh tentang penyelidikan penghasilan biobahan untuk kelestarian terutama sekali kopolimer poli (3-hidroksibutirat-ko-4-hidrosibutirat), [P(3HB-ko-4HB0] dengan menggunakan bakteria yang pertama kali dipencilkan daripada persekitaran Malaysia yang tergolong daripada genus Cupriavidus.
Menurut Amirul, penyelidikan dan pembangunan bahan polimer yang boleh biodegradasi dan bioserasi adalah proses yang dianggap penting demi kelestarian hari esok.
“Walaupun telah banyak polimer biodegradasi dikaji selama 40 tahun yang lalu, bahan dan sifat optimum sebagai biobahan berpotensi masih tidak tersedia untuk banyak aplikasi farmaseutikal atau perubatan.
“Oleh itu, penyelidikan biobahan berasaskan PHA iaitu polimer mikrob semula jadi telah mendapat perhatian secara terperinci dari segi penghasilan, sifat dan aplikasinya sejak sedekad yang lalu,” jelas Amirul.
Dalam sesi syarahan itu juga, Amirul menjelaskan lanjut akan hubungan Cupriavidus dengan PHA dalam penyelidikannya dan merungkai rahsia Cupriavidus dalam dua dekad serta menjelaskan lebih terperinci tentang aplikasi PHA sebagai biobahan.
Amirul turut menyentuh tentang pelbagai aspek biosintesis, pembangunan bioproses, pencirian dan penghasilan perancah poli (3-hidroksiburat-ko-4-hidroksibutirat).
Majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat SBS USM ini turut ditayangkan secara langsung melalui pautan Facebook dan YouTube rasmi USM.
Hadir sama ke sesi syarahan umum ini adalah Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz (mewakili Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi); Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali; Mantan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; dekan-dekan pusat pengajian dan pegawai-pegawai utama USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 603