USM JALIN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA MBPP
USM PULAU PINANG, 16 Mei 2023 - Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai (MPDAD), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Program Community Muralogy yang diadakan di Astaka Taman Tun Sardon, Gelugor.
Program yang bertemakan Tandas Bersih Pemangkin Masyarakat Madani ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan terhadap kepentingan penjagaan kebersihan tandas awam di kalangan rakyat Malaysia melalui sesi melukis dan mengecat mural.
Pelancaran program “Community Muralogy” ini telah disempurnakan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato Ir. Rajendran a/l P. Anthony yang hadir bersama Ahli Majlis MBPP, Encik Mohd Hafiz Abd Aziz dan Ketua Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Encik Danny Koay Hock Hsiang.
Danny Koay yang berucap mewakili Datuk Bandar berkata beliau gembira melihat pelan penghasilan mural yang menambah nilai estetika tandas awam Taman Tun Sardon untuk kegunaan penduduk setempat.
“Saya amat gembira dengan program ini dan berharap akan ada kerjasama lain dalam program dan projek masyarakat bersama MPDAD pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, MBPP telah menaja sepenuhnya program ini selaras dengan saranan Yang Berhormat Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menjadikan tandas awam bertaraf ‘BMW’ yang membawa maksud Bersih, Menawan dan Wangi.
Sementara itu, Pengarah Projek “Community Muralogy”, Saudara Chan Kah Yin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MBPP yang berbesar hati untuk memberi tajaan peralatan, makanan dan minuman yang diperlukan sewaktu program ini berjalan.
Selain itu, Kah Yin dalam ucapannya turut menerangkan tentang makna mural yang dipilih untuk dilukis di tandas awam berkenaan.
“Rekaan mural ini bertujuan untuk menyampaikan kesedaran penjimatan air dan penjagaan kebersihan tandas kepada penduduk Taman Tun Sardon dalam bentuk visual interaktif,” katanya.
Turut hadir menjayakan program adalah Penggawa Desasiswa Aman Damai, Encik Khairul Aswad Abd Aziz bersama Penolong Penggawa, Puan Nurul Izzati Rozali selaku Penasihat Projek.
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)
- Created on .
- Hits: 348