USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARGAI SUMBANGAN PENDIDIK SEBAGAI AGEN KEJAYAAN ANAK BANGSA

May be a graphic of text

USM PULAU PINANG, 16 Mei 2023 – Guru, cikgu, pensyarah atau apa gelaran sekalipun, mereka inilah pendidik yang bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak bangsa kita supaya terus mendapat ilmu pengetahuan hingga mengecapi kejayaan.

Setiap daripada kita pasti akan terkenang nama pendidik yang bermain di fikiran setiap kali tibanya tarikh 16 Mei saban tahun kerana seluruh negara meraikan golongan pendidik ini bersempena dengan ‘Hari Guru’ di Malaysia. 

Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, para pendidik adalah insan yang banyak berjasa kerana mengorbankan diri, masa, harta benda, keringat dan perhatian dalam kejayaan seseorang anak didik itu.

“Profesion sebagai pendidik bukannya sesuatu yang mudah untuk dilalui jika tidak mempunyai jiwa yang kental kerana peluang yang lahir ini perlu digunakan untuk membentuk seorang anak didik yang lengkap daripada segi akademik mahupun dalam aspek sahsiah, nilai dan keperibadian,” tambah Abdul Rahman.

Ujarnya lagi, kejayaan anak didik adalah kepuasan dan kebanggaan para pendidik dan tidak dapat dinafikan besarnya pengorbanan seorang pendidik dalam mendidik anak pelajarnya hingga mereka menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Tema sambutan Hari Guru bagi tahun ini ialah Guru Insani Pemangkin Generasi Madani bermaksud membangkitkan roh dan jiwa guru ke arah memartabatkan profesion keguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Guru untuk pembinaan negara bangsa.

Selamat Hari Guru kepada semua pendidik terutamanya warga pendidik dan akademia di USM dan teruskan menabur jasa dan bakti kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 467

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024