USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MCB 15 SEMARAKKAN LAGI SEMANGAT PERPADUAN DAN CINTA AKAN BUDAYA SETEMPAT

USM PULAU PINANG, 15 Mei 2023 – Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Program Malam Citra Bayu (MCB) kali ke-15 iaitu sebuah acara agung tahunan yang menghimpunkan tarian kebudayaan Sabah yang disertai oleh sembilan universiti awam di Malaysia.

May be an image of 11 people, violin and text

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, acara MCB pada malam ini telah menarik kehadiran kira-kira 2,500 penonton dan penyokong yang kebanyakannya merupakan para pelajar dari Sabah untuk memeriahkan suasana majlis.

Hadir bagi merasmikan program adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Azlinda Azman dalam ucapan perasmiannya berkata, seiring dengan semangat yang dibawa untuk menjulang kepelbagaian budaya dan etnik Sabah, MCB pada tahun ini membawa slogan ‘Tari Kimpal, Leluri Akinabalu’.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang bertanding dan pesan saya menang atau kalah adalah adat pertandingan, tetapi keberanian untuk menyahut cabaran dan menyertai pertandingan ini patut dipuji dan wajar dicontohi oleh semua orang,” kata Azlinda.

Sementara itu, Pengarah Projek MCB 15, Azri Zamrud Kimin dalam ucapannya berkata, program ini bertujuan untuk memartabatkan warisan dan kebudayaan Sabah, iaitu Negeri di Bawah Bayu sekaligus mempromosikan tarian kebudayaan Sabah kepada semua para penonton yang hadir.

May be an image of 3 people, violin, lighting and text

“Selaku Pengarah Projek, saya berharap agar program ini berjaya mencapai matlamatnya dan pesanan saya kepada para peserta untuk tidak berputus asa tidak kira anda menang atau kalah kerana setiap seorang daripada anda telah berusaha sehabis baik untuk berjaya sehingga ke tahap ini,” kata Azri.

Sembilan buah universiti yang menyertai pertandingan tarian ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan USM.

USM berjaya meraih antara dua hadiah yang dipertandingkan iaitu Kostum Terbaik dan Penari Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Darryljoe Peter.

USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta yang bertanding dan berjaya menjadi Johan MCB.

Turut memeriahkan majlis pada malam ini adalah persembahan daripada Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-36, Marsha Milan.

May be an image of 1 person

Hadir sama pada Malam Citra Bayu adalah Ketua Unit Kewangan & Penyelidikan, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah, Awangku Iskandar Sarizan Awang Sari; Penasihat 1 PERSIS USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim; Yang di-Pertua PERSIS USM, Muhammad Zikri Rosle; Pengarah Projek MCB, Azri Zamrud Kimin; pengawai-pegawai utama USM dan barisan penaja MCB ke-15.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 373

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024