USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MEWUJUDKAN IDEA ‘SAINS UNTUK SEMUA’ DI STEM: USM-MICRON YOUNG WISE

3257b3c5 c809 4adf a1ba 57cb5572a489

NIBONG TEBAL, 13 Mei 2023 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mewujudkan idea bahawa ‘sains adalah untuk semua’ melalui penganjuran Program STEM: USM-MICRON Young WiSE atau Women in Science and Engineering 2023 di Kampus Kejuruteraan di sini, hari ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika hadir meluangkan masa melawat persiapan cabaran Pengaturcaraan Dron dan Robot Mobile oleh peserta program berkata, usaha seperti ini perlu dijalankan dengan skala lebih besar dalam menarik minat pelajar untuk masuk ke USM.

“Kita di USM perlu lebih giat mempromosikan universiti dengan sentiasa turun padang untuk mendedahkan Sains dan Kejuruteraan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah,” beliau berkata.

“Apatah lagi dengan idea bahawa sains itu adalah milik semua, dan program hari ini berjaya mengukuhkan pandangan tersebut dengan melihat kepada penglibatan keseluruhan peserta dari kalangan pelajar pada hari ini yang tidak terhad kepada sekolah-sekolah berstatus elit sahaja dan saya sangat berpuas hati,” kata beliau.

76a6d49a 3ac5 4f5c 86ea 320a4271e421

“Inisiatif yang dilakukan ini adalah suatu yang sangat baik kerana seperti yang kita sedia maklum, sekolah-sekolah elit itu sendiri sentiasa diberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka.

“Sebaliknya pula dengan sekolah-sekolah harian biasa yang mana mereka ini sebenarnya tidak kalah besar bakatnya dengan sekolah-sekolah berstatus elit namun hanya kurang diberikan pendedahan serta peluang untuk menyerlah sahaja,” tambah  Abdul Rahman.

Selain daripada itu, Naib Canselor turut menyatakan bahawa pelaksanaan lebih banyak program seperti ini yang tidak mensasarkan kepada sekolah-sekolah tertentu sahaja ini sebenarnya perlu dimulakan dengan libatsama daripada industri.

“Seperti yang kita maklum, walaupun mereka ini akan memulakan perjalanan mereka di USM sebagai pelajar, namun, sebaik sahaja tamat pengajian, mereka akan menempatkan diri masing-masing di industri.

“Oleh yang demikian, kita berharap agar lebih banyak platform akan disediakan oleh pihak industri sebagai ruang untuk kedua-dua pihak secara bersama mencungkil bakat-bakat dalam bidang sains ini di masa akan datang kelak,” tambah beliau lagi.

Dekan PPKEE, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi dalam ucapan beliau menyatakan bahawa program yang diadakan ini merupakan kerjasama jaringan industri antara Micron Memory Malaysia dengan PPKEE.

“Micron Foundation telah memberi tajaan sebanyak US10,000 kepada USM untuk melaksanakan program yang melibatkan murid-murid perempuan dari 20 buah sekolah menengah dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan di negeri-negeri Zon Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ini,” kata beliau.

“Malah, ianya juga merupakan kesinambungan kepada program-program yang telah dianjurkan sebelum ini secara dalam talian semasa COVID-19 melanda iaitu Introduction to Arduino Uno (13 Januari 2021), Pitching Challenge (30 Mac 2021) dan Introduction to Python (5 Mac 2022), dan telah mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pengiktirafan penglibatan ko-kurikulum pelajar sekolah peringkat kebangsaan,” tambah Shahrel.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 316

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024